Rabu, 28 September 2011

Berapa jumlah pengundi klon?

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut mengemukakan hasil siasatan ke atas dakwaan wujudnya pengundi klon atau pemilih yang mempunyai kad pengenalan 'palsu'.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat berkata, sehingga kini tiada sebarang penjelasan berhubung perkara itu biarpun banyak pihak telah mengemukakan bukti wujud parkara tersebut.

Beliau mengulas pengumuman SPR semalam bahawa suruhanjaya itu telah mengeluarkan sebanyak 69,293 nama daripada rekod pemilih berdaftar antara Julai hingga 15 Sept lalu setelah disahkan meninggal dunia.

Selain itu, dalam tempoh berkenaan, SPR juga telah memotong 1,068 nama pemilih berdaftar yang disahkan telah dilucutkan kewarganegaraan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Malah SPR juga menyatakan 50 ribu lagi pemilih sedang di siasat lanjut.

"Yang disemak dan dibuang hanya yang meninggal dunia dan yang dilucut kewarganegaraan.

"Kita juga nak tahu berapa pula yang digugurkan kerana memiliki kad pengenalan klon yang boleh menyebabkan mereka mengundi lebih sekali," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mengulas 50 ribu nama pemilih yang didakwa sedang disiasat SPR itu, Suhaizan berkata beliau yakin sebilangan besarnya adalah pengundi klon yang pernah didedahkan mereka.

Menurutnya, SPR tidak boleh berdalih dalam perkara tersebut kerana Timbalan Pengerusi SPR Dato Wan Ahmad Wan Omar sendiri pada 24 Julali telah mengakui bahawa terdapat kad pengenalan klon atau palsu dalam daftar pemilih sah SPR.

Antara soalan yang memerlukan jawapan telus SPR seperti berikut :

- Berapa banyakkah kad pengenalan lama dimiliki oleh lebih daripada satu identiti pemilih?

- Berapa ramaikah pemilih berkembar?(Memiliki nama pemilih yang sama dan kad pengenalan yang 83% adalah sama)

- Berapa ramaikah pemilih yang berkod negara “71” yang telah digugurkan?

Kejayaan rakyat


Sementara itu, beliau yang juga ketua pemuda PAS Johor menyifatkan pengumuman oleh Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria semalam sebagai kejayaan rakyat yang selama ini mendesak agar daftar pemilih dibersihkan.

Ianya termasuk desakan besar-besaran rakyat melalui tuntutan dalam Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu dan beberapa pendedahan berterusan oleh pelbagai pihak selepas itu.

"Persoalannya apakah SPR akan melaksanakan pemutihan secara intensif tanpa sebarang desakkan daripada rakyat," soalnya.

"Pemuda PAS penuh yakin bahawa pemutihan ini tidak akan berlaku tanpa tekanan yang kuat daripada rakyat. Tahniah rakyat Malaysia," katanya.

Lebih besar ujarnya, pendedahan terbaharu SPR itu telah menempelak penafian Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Bin Mohd Yusof pada 19 hb Ogos lalu bahawa kemungkinan kesilapan dalam daftar pemilih SPR hanyalah 0.0001 peratus sahaja.

Ini kerana jumlah pemilih yang digugur dan di siasat adalah 120,361 daripada 12.3 juta pemilih iaitu 0.98 peratus bukannya 0.0001 peratus seperti yang didakwa.

Tiada ulasan: