Khamis, 29 September 2011

Piket: NUBE dakwa polis guna kekerasan, PDRM naïf

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) bahawa polis menggunakan kekerasan bagi menyuraikan piket di hadapan bangunan Maybank, Mont Kiara, di sini pagi ini.

NUBE dalam satu kenyataan mendakwa, kira-kira 50 anggota polis telah menggunakan kekerasan terhadap anggotanya yang ingin mengadakan piket di hadapan Maybank Mont Kiara dan melanggar hak asasi manusia dan kesatuan sekerja.

NUBE menegaskan piket diadakan secara aman dan polis tidak mempunyai sebab untuk menyekat anggotanya menyertai piket yang sah di sisi undang-undang.

NUBE dan Maybank berhadapan dengan pertikaian industri berkaitan dengan bonus prestasi dan penubuhan kesatuan dalaman.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Bari Wan Abdul Khalid berkata tuduhan itu sememangnya tidak berasas kerana polis telah menggunakan cara yang terbaik bagi menyuraikan piket itu.

“Walaupun mereka ada hak untuk mengadakan piket secara aman, tetapi mereka memerlukan permit supaya polis dapat mengawal keadaan dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

“Saya sendiri berbincang dengan wakil mereka dan mereka bersetuju untuk membatalkan piket itu. Namun mereka cuba mengedar risalah, tetapi kita tidak membenarkannya,” katanya.

Wan Bari berkata, NUBE mempertikaikan tentang hak mereka kerana mendakwa kesatuan itu ditubuhkan di bawah Akta Perhubungan Industri 1967 yang membolehkan anggotanya berpiket serta bebas berpersatuan dan bersuara.

“Mereka mempersoalkan hal ini kerana mendakwa NUBE ditubuhkan bagi membela nasib pekerja-pekerja bank, mereka boleh mengadakan piket secara aman sekiranya terdapat sebarang pertikaian atau penindasan daripada pihak atasan,” katanya.

Beliau berkata polis berjaya menyuraikan piket yang disertai kira-kira 40 anggota NUBE tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Peserta piket bersurai selepas berbincang dengan polis, dan tidak ada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya dipetik Bernama Online.

Tiada ulasan: