Khamis, 29 September 2011

Paip gas punca letupan awal pagi



TINGKAT satu hingga enam bangunan pusat beli-belah Empire Gallery di Subang Jaya rosak teruk akibat letupan kuat berpunca kebocoran gas di tingkat bawah bangunan itu menyebabkan empat individu cedera, pagi semalam.

SUBANG JAYA - Letupan kuat dari saluran gas memasak yang disangka bom di pusat beli-belah Empire Gallery, di sini awal pagi ini menggemparkan penghuni pangsapuri studio dan hotel di kompleks bangunan itu.

Kesan letupan dalam kejadian pukul 3.45 pagi itu menyebabkan enam tingkat bangunan tersebut rosak teruk, tiga buah kereta terseret beberapa meter manakala cermin di bangunan berdekatan pecah.

Kerosakan paling teruk dikesan berlaku di tingkat bawah yang menempatkan restoran dan premis perniagaan. Sepasang kekasih yang sedang berjalan berdekatan restoran itu turut tercampak beberapa meter.

Pemeriksaan pihak berkuasa mengesahkan ia berpunca daripada paip gas memasak yang meletup di sebuah restoran.

Bagaimanapun hanya empat orang cedera iaitu dua pegawal keselamatan dan sepasang kekasih dikenali sebagai Tan Wern Fang, 24, dan Chua Chin Hong, 27. Mereka dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pengawal keselamatan yang cedera ialah warga Nepal, Chhriy Dawak dan K. Surendran Kris, 33, yang patah kaki akibat tersepit di bawah timbunan barangan yang berkecai.

Puluhan binatang peliharaan yang berada di sebuah premis di dalam bangunan tersebut turut dilihat dibawa keluar oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, letupan dipercayai berpunca daripada saluran gas memasak di sebuah restoran yang terletak di tingkat paling bawah.

"Tetapi siasatan sama ada letupan berlaku kerana kecuaian atau disengajakan sedang dijalankan. Pasukan Bomba dan Penyelamat juga akan mengenalpasti jika letupan berpunca daripada litar pintas yang bertindak balas dengan gas.

"Perkara yang perlu ditegaskan dalam kejadian ini ialah tiada unsur jenayah atau keganasan dikesan kerana ia berlaku akibat letupan paip gas," katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi kejadian.

Beliau memberitahu, kawasan pusat beli-belah Empire Gallery akan ditutup sementara waktu sehingga siasatan dan kerja baik pulih selesai.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Mammoth Empire Holding yang merupakan pemilik bangunan, Datuk J. Y. Cheah berkata, kerja-kerja membersihkan bangunan akan dilakukan secepat mungkin.

"Bagi mengenalpasti kerugian, kami akan menunggu tafsiran kerugian oleh 180 penyewa premis di bangunan itu," katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Kanan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Subang Jaya, Asfarizal Abd. Rashid menyangkal dakwaan pusat beli-belah Empire Gallery tidak memiliki sijil layak menduduki (CF).

"Ketika siap dibina, bangunan tersebut hanya diberi CF sementara kerana perlu melakukan pengubahsuaian mengikut pelan, tetapi selepas CF tetap diberikan, baru operasi di situ dijalankan sehingga kini.

"Dakwaan mungkin timbul kerana pernah diberi CF sementara, namun masalah ketiadaan CF sebenarnya tidak berlaku kerana bangunan itu beroperasi mengikut peraturan," katanya ketika dihubungi.

Tiada ulasan: