Jumaat, 30 September 2011

Penduduk Kg Baru pohon campurtangan Agong, Sultan

Oleh: Nabihah Hamid


KUALA LUMPUR: Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) akan memohon campurtangan daripada Yang Di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor bagi mempertahankan satu-satunya tanah warisan Melayu di Kuala Lumpur.

Penasihat undang-undang SPKB, Zulhazmi Shariff berkata, cadangan kerajaan untuk mewujudkan Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru 2010 (RUU PPKB 2010) mendapat bantahan dan tentangan hebat pemilik dan pewaris tanah.

Penduduk juga katanya mempersoalkan ketelusan borang kaji selidik Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang menyatakan sebanyak 93.8 peratus pemilik bersetuju dengan rang undang undang berkenaan.

Menurut Zulhazmi lagi, mengikut maklumat yang diterima dari Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS), hanya 30 peratus borang kaji selidik yang dikembalikan.

“Kita nak tahu dengan jelas berapa ramai yang bersetuju. Dedahkan borang dan kaji selidik. Kalau perkara ini tetap diteruskan juga, kami akan mengadap Agong dan Sultan selangor untuk meminta campurtangan,”.

“Jadi kalau 30 peratus bermakna baru 1200 pemilik. Adakah itu satu asas yang kukuh untuk meneruskan RUU PPKB 2010? Itu bukan suara majoriti,” tegasnya.

Terdapat lebih 4,000 pemilik tanah Kampung Baru direkodkan melibatkan tujuh kampung dengan kawasan seluas 90.2 hektar.

“Kami ada rekod bantahan yang ditandatangan oleh penduduk yang membantah, cuma kami takkan kemukakan kerana bimbang ia akan dimanipulasi,” katanya pada Keadilandaily.

Sebelum ini, Pengerusi SPKB, Ahmad Zamri Bin Asa’ad Khuzaimi memaklumkan bantahan keras daripada penduduk berhubung kaedah penyerahan hak milik tanah kepada kerajaan untuk pembangunan, tanpa jaminan bila ia akan dikembalikan semula kepada pemilik.

Ini termasuk penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan segala keputusan perbadanan tidak boleh dicabar di mahkamah, pemansuhan MAS dan keanggotaan perbadanan yang tidak mewakili suara anak Kampung Baru.

SPKB menegaskan bahawa pindaan undang-undang tersebut hanyalah bersifat kosmetik dan bertujuan untuk mengaburi mata pemilik.

RUUPKB dijadual dibentang bagi bacaan kali kedua dalam sidang Parlimen yang bermula Oktober ini.

Tiada ulasan: