PAS hari ini enggan menerima satu surat bantahan yang dikemukakan bekas anggota keselamatan yang berang dengan kenyataan timbalan presiden parti, Mohamad Sabu, berhubung insiden berdarah Bukit Kepong pada tahun 1950.
Kira-kira 100 orang anggota persatuan berkenaan, termasuk daripada Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) itu berang apabila kehadiran mereka untuk menghantar memorandum itu disambut dengan pintu yang berkunci di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.
Turut menyertai kumpulan itu ialah anggota Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) serta beberapa NGO lain, termasuk bekas askar yang pernah bertempur dalam perang ke atas tentera komunis sebelum ini.
Menurut seorang kakitangan pejabat PAS, mereka tidak dapat menerima memorandum berkenaan kerana tidak menerima arahan untuk berbuat demikian daripada pemimpin parti.
Keengganan PAS untuk menerima memorandum berkenaan menyebabkan kumpulan tersebut melaungkan gelaran "bacul" dan "penakut" kepada Mohamad yang sedang mengadakan satu sidang akhbar pada waktu itu.
Kumpulan yang dikawal oleh kira-kira 20 orang anggota polis itu kemudiannya resah dan mula mengeluarkan kata-kata kesat ke atas Mohamad apabila mendapat tahu bahawa pemimpin tersebut tidak akan keluar untuk menerima surat berkenaan.
Kumpulan itu juga kecewa kerana polis mengarahkan mereka supaya bersurai kerana tidak mempunyai permit untuk berhimpun.
Presiden PBPM, Shafie Bakri ketika ditemui di situ berkata, mereka berasa kecewa kerana PAS bertindak demikian.
"Kita cuma orang biasa, persatuan biasa yang hendak hantar surat, bukannya peluru," katanya lagi.
Shafie bagaimanapun enggan meletakkan memorandum berkenaan di muka pintu ibu pejabat berkenaan dan bersumpah untuk kembali dengan lebih ramai anggota veteran bagi menunjukkan sentimen mereka.Shafie juga berkata, Mohamad telah mengguris perasaan mereka apabila menyatakan bahawa Mat Indera dan tentera komunis merupakan pejuang kebebasan.
Kumpulan yang berhimpun secara aman itu kemudiannya beredar selepas berhimpun selama kira-kira 30 minit sambil menyanyikan lagu patriotik Inilah Barisan Kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan