Meriam Deris dari Kampung Sempadan di Lanchang dekat ini menyifatkan sambutan Hari Lebaran kali ini sangat menyeronokkan apabila berpeluang melihat semua ahli keluarganya berkumpul sempena Syawal.
Walaupun nampak uzur, Meriam yang mempunyai lima anak sempat meluangkan sedikit masa dengan wartawan The Malaysian Insider yang melawat ke rumahnya baru-baru ini.
Kata Meriam, seperti kebiasaan ahli keluarga akan berkumpul pada 1 Syawal dan ia perkara yang paling membanggakan bagi wanita ini yang mempunyai 108 ahli keluarga buat masa sekarang.“Mestilah seronok bila dapat beraya beramai-ramai, walaupun saya tak boleh nak buat apa-apa tapi saya gembira lihat semua keluarga dapat berkumpul.
“Biasanya raya pertama semua keluarga akan datang ke sini,” katanya yang mempunyai 29 cucu, 44 cicit, 20 cuit dan 10 gamit.
Ketika The Malaysian Insider melawat rumahnya awal 1 Syawal, masih ramai ahli keluarga yang belum tiba.
Menceritakan tentang latar belakangnya, Meriam berkata, dia kematian suaminya Othman Hitam 27 tahun lalu selepas menderita lumpuh dan kini ditemani anak-anaknya.
Kata Meriam, ketibaan Syawal adalah satu perkara yang sangat dinanti-nantikan.
“Saya sentiasa menantikan ketibaan Syawal kerana inilah masanya kesemua anak, cucu, cicit, cuit dan gamit akan berkumpul dan meraikan Aidilfitri bersama.
“Bukan senang untuk mengumpulkan mereka semua. Sambutan Aidilfitri amat bermakna kerana saya dapat disambut bersama dengan mereka,” katanya.
Ditanya apa rahsia umur panjang, Meriam hanya berkata, dia semasa muda seorang bidan dan tukang urut di kampung berkenaan.
Walaupun terpaksa berjalan menggunakan tongkat, namun Meriam mampu menjalankan rutin harian termasuk bersolat dan berpuasa.
Mungkin jarang untuk menemui individu yang mencecah umur melebihi 100 tahun, namun anak-anak Meriam yakin ibu mereka kini berusia 112 tahun walaupun di kad pengenalan tertulis Meriam dilahirkan pada 23 Disember 1929.
Mereka berkata kemungkinan besar kelahiran Meriam lambat didaftarkan, sebab itu mengikut rekod yang ada umurnya kini hanya 82 tahun.
Meriam yang kini terpaksa bergantung pada bantuan orang lain untuk berjalan selepas terjatuh baru-baru berkata, juadah Aidilfitri yang paling digemarinya adalah lemang.
“Sudah tentu lemang, ia wajib buat,” katanya.
Menurut anak kedua Meriam, Zaharah Othman, 65, ibunya tidak mempunyai sebarang penyakit serius.
“Ibu tidak ada apa-apa penyakit, kencing manis dan sakit jantung pun tiada, dia juga tidak berpantang semasa makan,” katanya lagi.
Tambah Zaharah, kebiasaanya pada pagi 1 Syawal semua keluarga akan bersalam-salaman sebelum ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Selepas itu, mereka akan menziarahi kubur bapanya di tanah perkuburan Islam berdekatan.
Selain itu, Zaharah berkata, sehari sebelum Aidilfitri mereka akan bergotong-royong untuk menyediakan juadah termasuk lemang, rendang dan ketupat.
Meriam dikunjungi Ahli Parlimen Temerloh Saifuddin Abdullah beberapa hari sebelum Aidilfitri.
Adun Lanchang Datuk Mohd Shakar Shamsuddin berkata beliau telah memberikan sumbangan kerusi roda kepada Meriam pada Mac lalu.
“Tapi saya tidak sangka dia dah berumur lebih 100 tahun,” katanya ketika dihubungi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan