Jumaat, 2 September 2011

Saifuddin: BN boleh kekal Temerloh, tapi bukan mudah




TEMERLOH — Datuk Saifuddin Abdullah dilihat antara beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) khususnya dari Umno yang sinonim dengan personaliti yang menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi untuk berhubung dengan rakyat — sama ada pengundi kawasannya ataupun orang ramai amnya.

Beliau menyifatkan wakil rakyat tiada pilihan kecuali mendampingi kaedah tradisional dan alaf baru untuk berkomunikasi dengan berkesan dan efektif.

Malah beliau juga dilihat sebagai antara ahli politik BN yang progresif mengikut peredaran semasa. Beliau dilihat memberi pandangan-pandangan secara jujur mengenai keperluan rakyat meskipun ada pihak dalam partinya sendiri kurang senang dengan perkembangan tersebut. Malah ada yang meminta tindakan dikenakan ke atas ahli politik sepenuh masa berusia 50 tahun ini.

Ketika ditanya The Malaysian Insider ketika kunjungan ke bahagian Parlimen sempena Ramadan baru-baru ini, Saifuddin mempunyai sebab dan alasan.

“Berbanding tahun 1970-an dan sekarang, kita kena menerima hakikat bahawa landskap demografi sudah mengalami perubahan, jadi kita perlu menyesuaikan dengan perubahan dan menggunakan cara komunikasi yang berbeza,” kata Saifuddin.


Saifuddin Abdullah ketika meluangkan masa bersama pegawai pejabatnya dan parti di sebuah restoran di Temerloh selepas solat tarawih baru-baru ini. — Foto oleh G Manimaran
Saifuddin, yang menulis buku Politik Baru dua tahun lalu menggambarkan demografi semasa dalam dua bentuk. Pertama, mereka yang kekal berada dalam lingkungan tradisional dan kedua, kelompok masyarakat yang berada di luar kawasan Temerloh yang terdedah kepada pelbagai maklumat dan ruang sosial.

“Jadi, dalam politik baru ini kita kena menghadapi kedua-dua kelompok, jadi kita menggunakan cara yang berlainan untuk mendekati mereka. Kita tiada pilihan jika mahu mendengar suara mereka,” kata beliau.

Akhir tahun lalu Saifuddin mengeluarkan buku kecil berjudul “3M 2.0: Menyelamai Minda Muda — Pendidikan, Partisipasi & Politik”.

Bertolak daripada perkembangan tersebut, kata beliau, BN boleh mempertahankan kerusi Parlimen Temerloh dengan tetapi tidak menolak kemungkinan persaingan politik berdasarkan landskap politik semasa.

Pada pilihan raya umum ke-12 BN meletakkan sasaran majoriti 5,000 undi selepas menang dengan kelebihan 12,000 undi pada pilihan raya umum 2004. Pada 1999 - era reformasi, ketika kerusi Parlimen ini dikenali sebagai Mentakab dan BN mengekalkannya dengan kelebihan 243 undi.

Mengikut perkembangan semasa, Temerloh mempunyai sekitar 59,000 pemilih berbanding 54,010 tiga tahun lalu. Satu peningkatan sebanyak 5,000 pemilih baru.

Tiga tahun lalu, BN yang mengekalkan kerusi Parlimen turut menang di dua daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Mentakab dan Lancang. PAS menang kerusi Kuala Semantan.

Pada pilihan raya umum 2008, Saifuddin menewaskan Ahmad Nizam Hamid dari PKR dengan kelebihan 2,441 undi.

DUN Mentakab dimenangi oleh Chua Boon Seong dari MCA dengan kelebihan 2,439 undi, Mohd Sharkar di kerusi Lancang dengan kelebihan 2,139 undi. Syed Hamid Syed Mohamed dari PAS menang di Kuala Semantan dengan memperoleh majoriti 932 undi.

“Kali ini peluang kami cukup baik, tetapi persaingan tetap wujud, tidak dapat dinafikan,” kata Saifuddin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno.

Kerusi Parlimen Temerloh terdiri daripada 65 peratus pemilih kalangan orang Melayu, 25 peratus Cina, sembilan peratus India dan baki satu lain-lain. Kawasan ini juga mempunyai pengundi kalangan Orang Asli.

Sekiranya memperoleh 55 peratus undi orang Melayu, India 65 peratus dan Cina 20 peratus, secara kasar, Saifuddin meramalkan, “kami boleh memperoleh majoriti minimum 3,000 undi.”

Mengenai isu di kawasannya, Saifuddin berkata, “isu melibatkan rakyat tidak banyak.”

“Cuma mereka mahukan wakil rakyat selalu berada di kawasan, orang sini kata sebagai 'sokmo', mahu wakil rakyat selalu berada di kawasan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Bersama peminat rakan media baru di ibu negara ketika bulan Ramadan.
Saifuddin berkata beliau tidak banyak berhadapan dengan rungutan rakyat kecuali sesetengah orang Umno sendiri, yang mahukan beliau meluangkan sebahagian masa dengan rakyat.

“Ada beberapa pemimpin Umno mahu saya 'lepak' di gerai, malam-malam macam ini. Tapi, seara jujur ini bukan pendekatan saya... tetapi bukan bermakna saya tidak bersama rakyat,” kata beliau ketika singgah di sebuah restoran di Mentakab kira-kira 11.30 malam selepas solat tarawih, sebelum bertolak ke ibu negara.

Dengan menekankan jawatan kerajaan tidak memungkinkan berada sepanjang masa di kawasan, Saifuddin berkata, beliau berusaha untuk meluangkan masa setiap hujung minggu.

Selain kunjungan hujung minggu, Saifuddin berkata, beliau lazimnya mengadakan program “sembang petang” — program tidak formal untuk berbual-bual dengan rakyat di kedai kopi, gerai atau kawasan perumahan.

“Kadangkala pertemuan secara bersemuka, peribadi... orang kampung, biasanya orang Melayu, lebih bersedia untuk berkongsi masalah mereka, saya dapat mengetahui masalah mereka secara mendalam... mereka malu, segan nak bercakap dengan terbuka,” katanya.

Pendirian ini dapat dilihat ketika menyampaikan sumbangan Ramadan dan Aidilfitri kepada warga emas dalam JKKK Kuala Kaung dengan pergi ke setiap meja berbanding penerima datang ke pentas utama.

“Saya juga mengadakan pertemuan dengan kakitangan kerajaan di pejabat mereka, untuk mengetahui kehendak dan keperluan mereka, khususnya di waktu rehat... setakat ini 80 peratus kakitangan kerajaan sudah ditemui,” katanya lagi.

Selain menetapkan enam bidang pembangunan tumpuan dan bidang keberhasilan utama Temerlih (TKRA) dan Majlis Perundingan Parlimen Temerloh. Majlis Perundingan ini mengadakan pertemuan membabitkan pelbaga agensi dan pihak. Majlis seumpama itu dilihat antara pertama diadakan oleh wakil rakyat.

Selepas tiga setengah tahun menjadi wakil rakyat, kata Saifuddin, penduduk Temerloh mahukan satu projek besar dibawa ke bahagian tersebut.

“Selepas Lebuh Raya Pantai Timur (dibina), penduduk kawasan ini merasakan bisnes mereka agak terjejas. Dan, mereka merasakan ia boleh diatasi dengan satu projek besar dibawa ke sini . . . jadi, saya sedang cuba untuk membawa kampus cawangan UIA (Universiti Islam Antarabangsa) ke sini,” katanya yang akan diterima oleh kedua-dua masyarakat Cina dan Melayu.

“Bagi saya ini perkara paling mencabar . . . untuk membawa satu projek besar sebelum pilihan raya umum akan datang,” katanya lagi.

Bekas jurulatih bola keranjang ini juga kini menjadikan Temerloh sebagai Program Pusat Kecemerlangan Bola Keranjang dengan memperoleh peruntukan RM500,000 bagi tempoh 2011 hingga 2015.

“Kita memohon RM1.7 juta, tetapi dapat RM500,0000. Temerloh merupakan satu-satunya lokasi dipilih untuk mengadakan program ini,” katanya. Sebanyak 14 sekolah terlibat dalam program.

Saifuddin juga menekankan keperluan untuk mengadakan sebuah koperasi untuk pengusaha ikan patin. Temerloh terkenal dengan ternakan ikan patin. Surat-surat rasmi pejabat Parlimen ini juga menggunakan lambang ikan patin bagi mempromosikan produk tersebut. Temerloh mempunyai 53 restoran yang menyediakan hidangan ikan patin.

Menariknya, rungutan rakyat ialah isu kecurian van, yang lebih tinggi berbanding kawasan-kawasan lain, ekoran kenaikan harga getah. Masalah kutipan sampah dan parit dan longkang juga diketengahkan, katanya.

“Walaupun ia bukan masalah yang berkaitan dengan YB tetapi sebagai wakil rakyat, kita tidak boleh kata ia bukan masalah kita, kita kena ambil usaha untuk menyelesaikan masalah-masalah yang wujud, walaupun kecil . . . saya cuba membantu mereka,” kata anak jati kelahiran Kg Sungai Ara, Mentakab.

Dari segi kemudahan kesihatan, Saifuddin lega ia bukan satu isu sekarang. Temerloh ada hospital baru — Hospital Sultan Haji Ahmad Shah yang dapat menampung keperluan setengah Pahang.

“Klinik-klinik juga cukup. Umumnya, tiada isu besar,” katanya sambil menyambung, “kalau adapun isu-isu kebajikan.”

“Misalnya orang India memerlukan bantuan kecemasan, kita mendapatkannya daripada ICU, Jabatan Perdana Menteri,” kata Saifuddin, yang pertama kali bertanding di Temerloh tiga tahun lalu. Temerloh ada tujuh Sekolah Rendah Tamil dan empat kuih besar dan tujuh kuil kecil.

“Bantuan juga disalurkan kepada sekolah dan kuil-kuil ini,” katanya selepas menghadiri majlis menghargai beliau sempena majlis sembahyang tahunan di kuil Ladang Sungai Kawang.

Tiada ulasan: