Jumaat, 9 September 2011

Mat Sabu kepada Muhyiddin: Debat atau saman

Timbalan Presiden Umno itu sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan mengecam dan menyuruh agar Mat Sabu bertaubat.



KUALA LUMPUR: PAS menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran kenyataannya yang kerap mengkritik Mohamad Sabu berhubung isu pejuang kemerdekaan baru-baru ini.

Namun Mohamad atau lebih mesra dikenali sebagai Mat Sabu berkata sekiranya Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, sedia untuk berdebat maka pihaknya akan mengkaji semula sama ada tindakan saman akan diambil terhadapnya.

“Jika beliau (Muhyiddin) bersedia untuk berdebat maka kami akan pertimbangkan sama ada untuk saman atau tidak,” kata Timbalan Presiden PAS dalam sidang media di Ibu Pejabat parti itu di sini hari ini.

Muhyiddin sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan mengecam dan menyuruh agar Mat Sabu bertaubat kerana kononnya menjulang komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang baru-baru ini.

Mat Sabu berkata isu ini tercetus apabila akhbar Utusan Malaysia menyiarkan laporan pada 27 Ogos lalu bertajuk ‘Mat Sabu Hina Pejuang’ dan menyifatkannya sebagai fitnah yang berat.

Maka beliau yang diwakili peguam Hanipa Maidin memberi tempoh 24 jam kepada Utusan Malaysia untuk memohon maaf di atas laporan akhbar itu yang disifatkan fitnah dan jika gagal saman turut dikenakan.

“Surat akan dihantar hari ini kepada Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak bagi menggesa akhbar itu menarik semula laporan bertarikh 27 Ogos yang dianggap fitnah terhadapnya.

“Jika gagal berbuat demikian, kita akan failkan saman pada minggu depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Jumlah tuntutan saman belum ditetapkan dan bagi kes Utusan ini agak istimewa. Pada kebiasaannya notis diberi dalam 14 hari tapi mereka dalam 24 jam,” kata Hanipa.

Selain Utusan, Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican turut berdepan saman kerana mendakwa Mat Sabu tidak layak menuntut bayaran pembedahan dan perubatan daripada Perbadanan Bekalan Air, P-B-A, anak syarikat kerajaan negeri Pulau Pinang, kerana kecederaan dialaminya ketika perhimpunan Bersih.

Ugutan SMS ke atas keluarga

Dalam pada itu, Mat Sabu mendedahkan mengenai khidmat pesanan ringkas (SMS) berupa ugutan ke atas dirinya dan keluarga yang diterima gara-gara laporan fitnah oleh akhbar milik Umno tersebut.

Mat Sabu mendakwa SMS ugutan yang diterima daripada seorang individu yang tidak dikenali itu mahu dirinya dibuang negara dan dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Antara tulisan SMS itu yang dibaca oleh Hanipa berbunyi “Awak memang patut bertaubat, awak pembohong mulut celupar. Jangan sampai saya simbah asid pada isteri dan anak-anak. Kalau tak mahu jadi batalkan debat.”

Walau bagaimanapun tiada sebarang laporan polis dibuat oleh Mat Sabu berhubung ugutan SMS ini.

“Ugutan melalui SMS itu diberi oleh nombor yang sama. Tapi saya tidak mengetahui siapa yang menghantarnya. Namun ada yang berlainan kandungan SMS itu daripada nombor yang sama. Saya terima SMS itu dalam satu minggu,” jelas beliau.

Tiada ulasan: