Jumaat, 16 September 2011

Khalwat: Razak hanya mahu ambil baju

KL TODAY.COM




Pelakon, Razak Ahmad (gambar)memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini, Khamis, kehadirannya di rumah seorang ahli perniagaan berstatus isteri orang pada malam mereka ditangkap berkhalwat hanya disebabkan dia mahu mengambil baju yang ditaja wanita itu untuk satu program televisyen.Razak, 44, yang sinonim dengan watak orang alim dalam drama televisyen itu menambah, wanita tersebut, Selamah Sahudin, 45, sering menaja baju berunsurkan keislaman seperti baju Melayu, jubah dan kurta yang dipakainya dalam sesuatu program seni.

“Pada masa itu saya dipanggil untuk terlibat dalam siaran langsung di RTM yang sedang membuat percubaan untuk disenaraikan dalam Buku Rekod Malaysia kerana bersiaran selama 60 jam tanpa henti.

“Saya dijemput untuk mengisi slot secara langsung pada pukul 4 hingga 5 pagi dan disuruh untuk bercerita bagaimana seorang yang bergelar Qari boleh menyanyikan lagu-lagu asli dan berlakon,” kata Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad.

Tambah Razak, mengikut perancangan asal, dia akan membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menyanyikan lagu Ahmad Jais di dalam program tersebut.

Mengenai kehadirannya di rumah itu pada pukul 1 pagi, Razak memberitahu waktu tersebut ditetapkan oleh Selamah memandangkan dia perlu ke RTM pada pukul 2 atau 3 pagi untuk menjalani latihan.

Tambahnya, itu adalah kali pertama dia berkunjung ke rumah itu yang dianggapnya sebagai tempat stor menyimpan pakaian memandangkan pada hari lain, baju-baju akan diambil dari sebuah kedai milik Selamah pada waktu siang.

Mengimbas kejadian yang berlaku, pelakon drama “Geng Surau” itu memberitahu, Selamah mempelawa dia untuk masuk ke rumah bagi mencuba beberapa baju yang dirasakan sesuai untuk dipakai dalam siaran langsung tersebut.

Katanya lagi, Selamah kemudiannya mengunci pintu jeriji dan menutup pintu utama rumah kerana dua unit yang terletak berhampiran rumah tersebut dijadikan sebagai asrama pekerja-pekerja asing.

Ketika peguam syarie Mohammad Azman Karim yang mewakili dirinya mengenai pakaian yang dipakai oleh Selamah, Razak menjawab wanita itu berpakaian lengkap.

“Dia berpakaian biasa, menutup aurat iaitu bertudung. Saya tidak pernah melihat dia tanpa tudung. Tapi saya tidak beberapa ingat pakaian yang dipakai kerana saya tidak perhatikan, cuma pakaian itu senonoh,” katanya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.

Razak seterusnya memberitahu, dia mencuba tiga pasang baju di dalam bilik utama rumah tersebut sebelum memperagakannya kepada Selamah yang berada di ruang tamu bagi memastikan baju tersebut benar-benar selesa.

Malah, dia juga membuat aksi seperti sedang mengaji lengkap dengan Al-Quran dan rehal yang dibawanya sebagai persediaan untuk ke RTM.

Selepas mencuba, Razak kemudiannya kembali ke dalam bilik untuk membuka baju tersebut yang digantung untuk mengeringkan peluh sebelum digosok semula oleh Selamah.

“Saya pula berada di birai katil kerana mahu mengeringkan peluh,” katanya sambil menambah, hanya bersinglet dan berseluar pada masa itu.

Pada keterangannya, Razak juga berkata, dia mendengar pintu jeriji digoncangkan dan diberitahu oleh Selamah bahawa suaminya datang ke premis tersebut.

“Saya hanya duduk di dalam bilik. Saya beranggapan yang datang itu suaminya kerana mereka membahasakan diri sebagai mama dan papa. Saya mendengar suami Selamah menjerit menyuruh saya keluar dan mendapati ada anggota polis bersamanya,” katanya.

Razak juga memberitahu, dia kemudiannya menyerahkan kad pengenalan dan telefon bimbitnya kepada anggota polis tersebut yang menurutnya ‘mengikut’ arahan daripada suami Selamah untuk meminta barang-barang tersebut.

Tambahnya, dia diminta untuk ke Balai Polis Seri Kembangan bersama dua anggota polis untuk diambil keterangan dan diarahkan supaya hadir di Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Shah Alam, dekat sini untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat.

“Saya terlepas program RTM pada hari tersebut dan hanya dibenarkan balik selepas seorang rakan datang untuk menjamin saya,” katanya yang secara tiba-tiba menangis.

Ujarnya, tidak lama selepas hadir di pejabat JAIS, dia kemudiannya dihadapkan ke mahkamah.

Razak didakwa berkhalwat dengan Selamah pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006 di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 14 September 2006, Selamah yang mengusahakan perniagaan butik, mengaku bersalah dan didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan, jika gagal membayar denda itu.Prosiding yang dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JAIS, Shafezan Rusli di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersambung pada 6 Oktober depan.

Tiada ulasan: