Rabu, 4 Januari 2017

Umno Selangor bergelora, lebih seribu ahli keluar parti masuk BERSATU

 

SABAK BERNAM – Umno Selangor kini berdepan gelora apabila seribu lebih ahli akar umbi parti itu mengumumkan keputusan keluar parti dan menyertai parti baharu BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad semasa malam tahun baharu baru-baru ini.

Pengumuman tersebut adalah rentetan daripada keputusan 200 ahli Umno dalam Bahagian Sri Muda yang juga mengumumkan keluar parti dan menyertai PPBM.

Dalam satu majlis anjuran PPBM Selangor yang berlangsung di Dataran Tanah Lesen, Sabak Bernam, kira-kira 1,080 ahli Umno bahagian kawasan itu bertindak menghantar boran keahlian BERSATU dan keluar Umno.

Kumpulan tersebut yang dipimpin Hamizar Sulaiman menyerahkan borang keahlian kepada wakil BERSATU yang juga Anggota Majlis Tertinggi Abu Bakar Yahya dan disaksikan juga oleh bekas Naib Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Selangor Mohd Hamidi Abu Bakar.

Menurut Hamizar, ahli-ahli yang keluar parti itu terdiri daripada seluruh Umno Bahagian Sabak Bernam.

“Keahlian 1080 dari jumlah sebenar yang terbaharu adalah dari seluruh (Umno) bahagian Sabak Bernam.

“Separuh dari jumlah ini adalah dari ahli Umno Cawangan dalam Bahagian Sabak Bernam dan
sebahagiannya juga tediri daripada kalangan ahli jawatankuasa kemajuan keselamatan kampung ( JKKKP ),” kata Hamizar kepada TMM.

Pengumuman ini menjadi tamparan kepada Umno Selangor yang dipimpin oleh Tan Sri Noh Omar yang berhasrat untuk merampas semula negeri itu dalam keadaan akar umbi sudah hilang kepercayaan terhadap pimpinan Umno.

Dalam majlis awal pada hari sama, lebih 200 anggota Umno hari ini menyerahkan borang keahlian untuk menyertai BERSATU.

Kebanyakan mereka yang merupakan anggota cawangan Umno Sri Muda menyerahkan sebanyak 212 borang keahlian.

Sementara itu, bekas timbalan ketua pemuda Umno Cawangan Sri Muda Zul Iskandar Jamaluddin berkata beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno kerana rasuah yang dikatakan berlaku dalam kalangan pemimpin Umno bahagian.

Sementara itu, Hamidi yang dihubungi mengesahkan mengenai pengumuman ahli Umno di dua kawasan yang menyertai BERSATU dan berikrar akan meneruskan kempen untuk menarik lebih ramai ahli Umno menyertai BERSATU.

“Ya, kami akan meneruskan kempen untuk menarik ahli Umno yang sudah hilang kepercayaan terhadap pimpinan.

“Mereka pemimpin bahagian sudah tidak lagi mementingkan masa depan orang Melayu dan lebih mementingkan perut masing-masing,” kata Hamidi.

Tiada ulasan: