SHAH ALAM: Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air
Tawar akibat kematian wakil rakyatnya semalam tidak menjejaskan bilangan
parti yang membentuk majoriti di Selangor.
Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh berkata, pihaknya sudah memaklumkan
perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
"Berdasarkan kepada Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan
Selangor 1959, Bab 5 Perkara LXX (5) sesuatu kekosongan luar jangka
hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh kekosongan itu berlaku.
"Dengan syarat jika sesuatu kekosongan luar jangka dipastikan pada
suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Dewan Negeri itu akan
terbubar mengikut Fasal (3), maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh
diisi melainkan saya memberitahu SPR secara bertulis bahawa kekuatan
bilangan parti yang membentuk majoriti semua Ahli Dewan Negeri adalah
terjejas oleh kekosongan itu.
"Saya sudah memaklumkan kepada SPR bahawa kekuatan bilangan parti yang
membentuk majoriti semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah tidak
terjejas oleh kekosongan kerusi N01 (Sungai Air Tawar)," katanya dalam
satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Semalam, ADUN Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik, ditemui
meninggal dunia di ruang rehat kediamannya kira-kira jam 8.30 pagi
selepas gagal menghadiri satu program pada jam 8 pagi.
Kamarol Zaki yang dipercayai meninggal dunia lewat malam kelmarin,
berada di rumah seorang diri berikutan isteri pertamanya, Rossimah Abbas
mengunjungi rumah anak sulung mereka, Mohd Nasir, 32, di Puncak Alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan