Ahad, 15 Januari 2017

Tiada guna hantar wakil jika disindir - Iskandar

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Disindir dan dihentam dalam majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PAS menyifatkan keputusan untuk tidak menghantar wakilnya ke majlis berkenaan sebagai tindakan yang tepat.
 
Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad berkata demikian merujuk kepada sindiran Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membayangkan PAS sebagai parti yang akan memecah-belahkan undi untuk memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 
 
"Tidak ada gunanya menghantar wakil-wakil semata-mata untuk disindir.
 
"Jika benar hendak berunding dengan PAS, kenapa perlu menghina PAS?
 
"Tun Mahathir jelas tidak ikhlas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Dalam ucapan sewaktu pelancaran PPBM malam tadi, Dr Mahathir tidak menyatakan nama parti yang dimaksudkannya secara langsung, namun ia merujuk kepada PAS.
 
PAS tidak menyertai gabungan Pakatan Harapan (PH) dan PPBM menandatangani perjanjian politik untuk meletakkan satu calon mewakili gandingan berkenaan yang dimeterai pada bulan lalu.  
 
Dr Mahathir sebelum ini kerap mendesak PAS supaya segera memutuskan sama ada mahu menyertai pembangkang bagi memastikan saingan dua penjuru menentang BN pada PRU14. 
 
Pimpinan utama PAS tidak hadir pada majlis pelancaran PPBM sungguhpun dijemput. Kelihatan cuma Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang hadir, namun beliau bukan diwakilkan oleh PAS.
 
Dalam ucapannya juga Dr Mahathir menegaskan partinya bersama Pakatan Harapan akan meletakkan satu calon, menggunakan satu simbol dan mendokong manifesto sama pada pilihan raya umum yang diramal diadakan pada tahun ini.
 
 

Tiada ulasan: