Selasa, 31 Januari 2017

SPRM buka kertas siasatan terhadap Annuar

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa Tan Sri Annuar Musa dalam Majlis Amanah Rakyat (MARA).
 
Menerusi satu kenyataan, badan anti-rasuah itu bagaimanapun memaklumkan siasatan hanya tertumpu kepada rasuah dan salah guna kuasa Annuar yang dikaitkan dengan isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan (TRW).  
 
"Ingin ditegaskan, siasatan SPRM hanya tertumpu kepada isu rasuah dan salah guna kuasa membabitkan pembabitan beliau dalam penajaan pasukan bola sepak Kelantan. 
 
"Siasatan berhubung salah tadbir urus pula akan dijalankan oleh pasukan audit dalaman MARA," katanya.
 
Badan itu juga meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan kes terbabit dan memberikan ruang kepada mereka bagi menjalankan siasatan.
 
Annuar digantung tugas sebagai Pengerusi MARA dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) berkuat kuasa serta merta hari ini.
 
Ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata keputusan itu bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku dan penyelewengan kuasa dikaitkan terhadap Annuar, berkaitan tajaan pasukan bola sepak Kelantan dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) oleh dua agensi berkenaan. 
 
Katanya mesyuarat tergempar yang dihadiri semua Ahli Majlis MARA hari ini sebulat suara bersetuju dengan keputusan berkenaan, selaras hasrat agensi dalam memastikan kepentingan dan amanah rakyat sentiasa dipelihara. 


Tiada ulasan: