Sabtu, 28 Januari 2017

RUNDINGAN YANG MEMBUANG MASA

 shahbudondotcom


Rundingan bagi mewujudkan kerjasama politik antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia  atau Bersatu dengan Pas yang sepatutnya sudah tamat, akhirnya diberi lanjutan masa lagi sehingga 2 Februari depan untuk dimuktamadkan.

Diberitakan masih ada segelintir pemimpin Bersatu yang percaya hubungan dengan Pas masih boleh diwujudkan, meskipun dalam masa yang sama mereka juga sedar ada pemimpin Pas yang masih melakukan serangan berterusan kepada Tun Mahathir Mohamad.

Tarikh 2 Februari bakal menjadi perbincangan terakhir antara Bersatu dengan Pas. Selepas tarikh itu, tiada lagi perbincangan lain dan masa serta tempat pertemuan sehingga ini belum lagi diputuskan.

Tetapi, sementara Presiden Pas, Hadi Awang kelihatan seperti mempunyai banyak masa untuk menghadiri beberapa majlis dengan Presiden UMNO, Najib Razak, beliau sebaliknya hanya menghantar Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man untuk berunding dengan delegasi Bersatu yang diketuai Presidennya, Muhyiddin Yassin dalam pertemuan sebelum ini.
 
 
 
 
Untuk itu, dalam pertemuan pada 2 Februari nanti, Bersatu memutuskan hanya Mukhriz Mahathir selaku Timbalan Presiden Bersatu yang akan mengetuai delegasi perundingan, sesuai dengan Pas yang masih mengekalkan Tuan Ibrahim sebagai ketua delegasi.

Muhyiddin hanya akan dikembalikan untuk mengetuai delegasi rundingan sekiranya Pas juga menukar Tuan Ibrahim kepada Hadi Awang.

Bagaimanapun,  sehingga ini rundingan pada 2 Februari kekal diketuai akan oleh timbalan presiden kedua-dua parti tersebut.

Apa harapan kepada rundingan itu nanti?

Dalam sidang media selepas mesyuarat MT UMNO semalam, antara yang diumumkan oleh Najib Razak ialah UMNO dan Pas akan sekali lagi berkongsi pentas dalam majlis pelancaran kapal misi Flotilla Rohingya pada 3 Februari akan datang.

Walaupun tidak diumumkan tentang kehadiran Hadi Awang dalam majlis pelancaran itu, tetapi sekiranya Najib hadir, kemungkinan besar Presiden Pas juga sedia melapangkan masanya.

Lagi pun, dengan keghairahan Najib mengumumkan sekali lagi UMNO dan Pas akan duduk sepentas, walaupun mengatakan hanya berkaitan Islam dan kepentingan ummah,  sebenarnya tersirat apa yang lebih besar mahu diraih ialah laba politik daripada majlis tersebut.

Jika benar ikhlas untuk kepentingan ummah dan membantu Islam di Rohingya, pelancaran kapal itu lebih baik dilakukan secara senyap-senyap kerana yang lebih penting untuk dibantu ialah umat Islam yang sedang menderita di Rohingya, bukannya menghebah-hebahkan kehadiran Pas.

Dalam masa yang sama, kenapa Pas saja yang disebut hadir, tetapi tidak parti-parti  politik yang lain?

Yang lebih penting, tarikh  3 Februari itu hanya jatuh sehari selepas tarikh pertemuan antara Bersatu dengan Pas yang dijangka akan memutuskan sama ada akan wujud kerjasama atau tidak antara kedua-dua parti itu.

Agak-agak positif atau negatif rundingan 2 Februari nanti?

Bagaimana Pas mahu berada sepentas dengan UMNO pada 3 Februari itu kiranya pada 2 Februari sudah diumumkan kerjasama politik dengan Bersatu?  


 

Tiada ulasan: