Khamis, 19 Januari 2017

PAS sudah tidak lagi sayang Mahfuz atau sebaliknya?

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] Penganjur majlis politik malam Ahad lalu di Stadium Malawati, Shah Alam ialah Parti Pribumi Bersatu (PPBM) sempena pelancaran rasminya.
 
Bagaimanapun yang terkesan dan agak cemas kerana ketidakhadiran PAS ialah bekas Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar. 
 
Ahli Parlimen Pokok Sena itu lantang mengkritik pimpinan PAS kerana tidak menghantar seorangpun wakil ke majlis perasmian PPBM) itu. Mahfuz hadir sebagai individu dan tidak mewakili PAS.
 
Mahfuz bertindak demikian kerana bimbang  ketidakhadiran PAS itu akan menghantar isyarat yang salah bahawa PAS tidak menyokong parti pimpinan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. 
 
Bagaimanapun Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, bingkas menyahut bidasan Mahfuz. Katanya, PAS mempunyai program serentak dengan pelancaran PPBM. 
 
Oleh itu, ujar Idris, Mahfuz sewajarnya mendapatkan penjelasan daripada parti terlebih dahulu sebelum melontarkan kritikan.
 
"Dia (Mahfuz) tahu tak sebab apa (kita tak hadir). Kita (masa itu) ada program sendiri," katanya merujuk kepada Himpunan RUU 355 peringkat Wilayah Persekutuan, yang turut diadakan pada malam Sabtu lalu. 
 
"Tanya lah dulu, tak elok la panaskan keadaan," bidas Idris.
 
Ketika ditanya sama ada parti akan mengambil tindakan terhadap Mahfuz kerana mengkritik parti di samping kerap menghadiri majlis anjuran Pakatan Harapan (PH), Idris sambil berseloroh berkata parti tidak ambil pusing hal berkenaan. 
 
"Kita pun tak peduli masalah dia," kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu.
 
Mahfuz terus lancar serangan 
 
Bagaimanapun Mahfuz seolah-olah tidak menghiraukan penjelasan Idris dan beralih memberi tumpuan mengkritik seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad.
 
Menurut Iskandar, ketidakhadiran PAS ke majlis PPBM itu kerana dua seterunya -- Amanah dan DAP turut hadir pada majlis PPBM itu.
 
Menurutnya, PAS tidak mempunyai hubungan politik dengan kedua-dua parti berkenaan menyebabkan pimpinan sebulat suara tidak hadir ke pelancaran PPBM. 
 
Tambah Iskandar, pihaknya kecewa apabila pelbagai tuduhan dan dakwaan dilempar kepada PAS kerana isu 'tidak hadir' tersebut termasuk mengatakan ia seolah-olah menghina Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti pembangkang keseluruhannya.
 
Mahfuz Omar mempersoalkan, adakah kenyataan Iskandar itu isyarat bahawa selepas ini Exco PAS Selangor akan 'memulau' semua aktiviti atau mesyuarat yang dihadiri DAP?  
 
"Pada saya kenyataan dan penjelasan Iskandar sangat mengejutkan dan mengundang risiko yang besar kepada kelangsungan politik PAS khususnya kedudukan PAS dalam kerajaan negeri Selangor.
 
"Kenyataan tersebut seolah-olah memberi isyarat kepada Datuk Seri Mohd Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor bahawa tiga anggota exco negeri Selangor dari PAS tidak akan hadir mesyuarat akan datang dan sekali gus akan melepaskan jawatan masing-masing.
 
"Ini kerana exco kerajaan negeri Selangor juga terdiri daripada wakil DAP dengan jumlah bilangan mereka sama dengan anggota PAS," kata Mahfuz dalam satu kenyataan media.
  
Iskandar memberitahu bahawa ketidakhadiran PAS dalam majlis PPBM itu adalah kerana kehadiran Amanah dan DAP yang sudah tidak mempunyai kaitan hubungan politik parti itu.
 
Malah menurut Mahfuz lagi, adalah tidak mustahil sekiranya semua ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daripada PAS di Selangor akan melakukan perkara yang sama kerana wakil DAP dan Amanah turut ada dalam badan itu. 
 
Selain itu kenyataan ini juga mungkin menjadi penamat hubungan di antara PAS-PKR dan tidak akan menjalin hubungan dengan PPBM yang telah menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) bersama Amanah dan DAP.
 
Pendirian PAS jelas dan konsisten
 
Yang agak memusykilkan ialah pendirian PAS dalam isu tahaluf dengan PKR dan menghormati mandat pengundi yang jelas mahu PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP memerintah Selangor, adalah jelas.
 
Sementara pendirian PAS terhadap Amanah dan DAP juga jelas. PAS tidak mahu bekerjasama dengan DAP yang dianggap tidak mesra dengan perjuangan Islam PAS dan dengan Amanah yang dicap mengkhianati perjuangan PAS.
 
Justeru kritikan Mahfuz yang cuba mengaitkan dua prinsip kerjasama PAS dalam kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama politik dengan DAP dan Amanah, amat mengelirukan. 
 
Walhal sebagai pemimpin veteran PAS, seharusnya Mahfuz faham dan menyokong pimpinan Pusat PAS dalam menghayati dua pendirian yang jelas itu.
 
Lantas perlu diperinci adakah kritikan Mahfuz itu sebenarnya membantu perjuangan PAS jangka panjang atau mengeruhkan lagi keadaan sejak parti itu “dikhianati oleh DAP dan Amanah”.
 
Dalam perkataan lain, adakah Mahfuz faham, kasih dan setia pada perjuangan PAS atau sudah “jatuh cinta” pada perjuangan parti-parti pembangkang lain, terutama PPBM.
 
Yang mendorong Mahfuz mengkritik PAS ialah kebimbangannya PPBM akan “kecil hati” dan ini disokong oleh kecenderungannya menyertai aktiviti PPBM yang mungkin tanpa mendapat “restu dan izin”.
 
Sikap cuba membezakan kelakuan politiknya dengan pemikiran arus perdana pimpinan PAS mula menonjol sejak Mahfuz menolak tawaran pimpinan PAS untuk menjadikan beliau Ketua Penerangan parti itu. 
 
Kenyataan-kenyataan yang dibuatnya yang sering menyindir pimpinan PAS lebih mirip bekas-bekas pemimpin PAS yang meninggalkan parti itu dan menubuhkan parti Amanah.
 
Anehnya, Mahfuz tidak pula menyertai pasukan pemimpin yang kecundang menjatuhkan pimpinan ulama dalam PAS walaupun dalam banyak keadaan Mahfuz bersuara ala-pemimpin Amanah!
 
Namun bak kata Naib Presiden PAS, Idris Ahmad: "Kita pun tak peduli masalah dia.

Tiada ulasan: