Ahad, 8 Januari 2017

MCA dakwa Himpunan 355 bakal cetus masalah agama

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: MCA tidak akan menghadiri Himpunan 355 yang dianjurkan PAS pada 18 Februari depan.
 
Menurut Naib Presidennya, Datin Paduka Chew Mei Fun, keputusan itu senada dengan pendirian MCA selama ini yang menolak Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
"Kita tidak akan menghadiri (perhimpunan PAS). Malah kita menyeru supaya tidak diadakan perhimpunan tersebut kerana ia akan menimbulkan masalah di antara agama," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Chew yang ditanya sama ada MCA telah bermesyuarat sebelum memutuskan perkara berkenaan berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian.  
 
"Tak perlu kita bermesyuarat kerana ini adalah pendirian kita, bahawa tidak akan menyokong apa yang dicadangkan oleh PAS," tegasnya lagi.
 
PAS semalam mengumumkan akan menganjurkan Himpunan 355 pada 18 Februari depan sebagai satu lagi usaha memberi penerangan bersabit cadangan pindaan RUU 355, yang telah melalui dua kali penangguhan di Parlimen.
 
Cadangan pindaan tersebut menurut PAS adalah untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
 
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tujuan penganjuran himpunan itu juga adalah untuk 'memurnikan suasana' ekoran sikap sesetengah pihak yang tidak bersetuju terhadap langkah itu.
 
Himpunan yang turut dianjurkan secara bersama dengan NGO dan aktivis itu turut menjemput kehadiran parti-parti politik termasuk DAP, Amanah dan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).
 
MCA sebelum ini lantang menolak RUU 355 dengan memberi alasan ia bercanggah dengan dasar penubuhan Malaya.
 
Mereka juga menyatakan kebimbangan masyarakat Cina bahawa cadangan PAS itu sebagai usaha untuk melaksanakan hudud di negara ini yang akhirnya akan menyebabkan sistem perundangan Malaysia akan terbahagi kepada dua.
 
 

Tiada ulasan: