Isnin, 2 Januari 2017

Lelaki maut, motosikal bertembung kereta pemain JDT

 
Polis berkata dalam kejadian itu, pemain JDT itu, Muhammad Fazly Mazlan yang memandu kereta jenis Audi S5 tidak mengalami sebarang kecederaan.


polis_kemalangan_6001


JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan kereta dipandu pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di KM15, Jalan Sungai Mati-Bukit Gambir, Serom, dekat Tangkak, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Mohad Idris Samsuri berkata kejadian berlaku kira-kira 8.05 malam, namun, pemain JDT itu, Muhammad Fazly Mazlan, 23, yang memandu kereta jenis Audi S5 tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal polis mendapati penunggang motosikal berusia 30-an tersebut keluar dari simpang secara tiba-tiba dan membuat pusingan menuju ke jalan utama.

“Pada masa sama, terdapat sebuah kereta jenis Audi S5 yang datang dari arah belakang dan tidak sempat mengelak lalu berlaku rempuhan,” katanya.

Idris berkata mangsa yang berasal dari Taman Serom, Tangkak, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Polis sudah mendapatkan keterangan Fazly dan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Beliau berkata ketika kejadian, Fazly dalam perjalanan ke Plaza Tol Bukit Gambir dari kampungnya di Serom untuk pulang ke Johor Bahru.


Tiada ulasan: