Sabtu, 28 Januari 2017

Lelaki hilang mendaki Bukit Broga ditemui

Norlaile Abd Rahman
Mohd Azarul Mukriz Abd Rahman ditemui dalam keadaan letih dan lesu. foto: FB Hiking & Camping

KUALA LUMPUR – Lelaki berusia 20 tahun yang hilang sejak lima hari lalu ketika mendaki Bukit Broga, Semenyih ditemui selamat.

Mohd Azarul Mukriz Abd Rahman yang berasal dari Kedah dikatakan mendaki bukit berkenaan bersama enam lagi rakannya sebelum dilaporkan hilang.

Gambar-gambar dan video yang dimuat naik oleh page Hiking & Camping menunjukkan Mohd. Azarul berada di dalam keadaan sihat walaupun kelihatan letih dan lesu.

Beliau juga telah bertemu dengan ibunya, Rohana Saad yang turut menyertai misi mencari yang dijalankan sejak Isnin lalu.

Selain pasukan mencari dan menyelamat yang merangkumi anggota polis dan bomba, gerakan mencari Mohd. Azarul turut disertai oleh sukarelawan yang terdiri daripada kumpulan-kumpulan pendaki dan pasukan paranormal.

Semalam, sebuah video yang memaparkan ibu Mohd. Azarul memerah kudratnya demi mencari anak beliau yang hilang tanpa jejak meskipun pasukan SAR sudah membuat pencarian ke atas kawasan seluas lebih 20 kilometer sekitar Bukit Broga.

Video Rohana, 49, yang sedang mendaki dan memanggil nama anaknya dengan nada sayu telah mengundang kesedihan netizen.

Tambahan pula, beliau berjanji akan meneruskan pencarian meskipun misi mencari akan ditamatkan.
Video tersebut telah dimuat naik oleh sukarelawan yang turut menyertai misi berkenaan.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: