Jumaat, 13 Januari 2017

Lanun cari tebusan nilai tinggi, kejar kapal gergasi

 
Lanun rantau ini menukar taktik sejak Oktober, menyasarkan kapal besar yang berlayar di Laut Sulu dan Laut Sulawesi


lanun_ship_kapal_600


SINGAPURA: Lanun Asia menumpukan serangan terhadap kapal dagang bersaiz besar berhampiran Filipina, mengharapkan bayaran tebusan yang tinggi untuk anak kapal yang diculik, kata ketua badan pembanterasan lanun serantau hari ini.

Lanun rantau ini menukar taktik sejak Oktober, menyasarkan beberapa kapal besar yang berlayar di Laut Sulu dan Laut Sulawesi, dan kurang memberi tumpuan kepada bot tunda kecil dan bot nelayan.

Kemelaratan menyebabkan Indonesia, Malaysia dan Filipina meningkatkan rondaan air dan laut di perairan tersebut, yang menjadi laluan kepada AS$40 bilion kargo setiap tahun.

“Kapal besar dimiliki pemilik besar, jadi mereka fikir pemilik besar boleh bayar wang tebusan yang lebih banyak,” kata Masafumi Kuroki, pengarah eksekutif Kerjasama Serantau Perjanjian Pembanterasan Lanun dan Rompakan Bersenjata Terhadap Kapal-Kapal di Asia (ReCAAP).

Kumpulan itu, yang dianggotai 20 negara, membantu menyelaras maklumat mengenai kejadian pelanunan maritim.

Pakar maritim menyarankan kapal di kawasan berkenaan supaya mengamalkan langkah yang digunakan terhadap lanun perairan Somalia dan Lautan Hindi, termasuk tindakan mengelak zig-zag, pecut dan menembak penyerang dengan lampu cahaya berkuasa tinggi.

“Nasihat kami kawasan itu dielakkan sekiranya boleh,” kata Gerry Northwood, ketua pegawai operasi di syarikat keselamatan, Maritime Asset Security and Training (Mast).

Kira-kira 48 anak kapal diculik dalam 16 serangan di Laut Sulu-Sulawesi sejak Mac, di mana 15 lagi masih dijadikan tebusan, menurut ReCAAP.

Pada November, 4 kapal dagang besar, termasuk kapal pengangkut saiz gergasi (cape size) seberat 179,191 ton, Kumiai Shagang, dikejar oleh lanun bersenjara yang menaiki kapal laju dalam cubaan serangan berasingan di Laut Sulu dan Laut Sulawesi.

Militan Abu Sayyaf mengaku bertanggungjawab di atas sebahagian besar serangan di kawasan itu. Operasi darat oleh tentera Filipina terhadap kumpulan itu menyebabkan militan mengalihkan tumpuan kepada sasaran lembut di laut, kata Kuroki.

Meskipun jumlah penculikan menunjukkan peningkatan, jumlah serangan lanun di Asia secara keseluruhannya turun ke paras terendah sejak ReCAAP dilancarkan pada 2006.

Sebanyak 86 kejadian dilaporkan pada 2016, turun daripada 203 pada 2015, hasil kerjasama antara negara pesisiran dan langkah pencegahan lanun oleh syarikat perkapalan.

Tiada ulasan: