Sabtu, 7 Januari 2017

Hannah: Jangan mungkir janji lagi

hannah-yeoh-3
OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA: Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh menggesa Kerajaan Persekutuan tidak menangguh lama pembinaan Klinik Kesihatan Subang Jaya yang diperjuangkan penduduk selama ini.

Beliau berkata, ia merupakan keperluan asas penduduk yang selama ini terpaksa berkunjung ke klinik kerajaan di Kelana Jaya dan Puchong untuk mendapatkan rawatan asas kesihatan.

“Saya harap sangat Kerajaan Persekutuan ada duit untuk melaksanakan projek ini untuk manfaat rakyat.

hannah-yeoh-5

“Dengan populasi Subang Jaya yang semakin padat, pembinaan klinik kesihatan kerajaan ini adalah sangat diperlukan terutama warga tua dan kanak-kanak,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini,

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan permohonan tukar guna tanah tapak sekolah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan pembinaan klinik, dalam satu surat bertarikh 9 Disember 2016.

Hannah berkata, keputusan KPM itu juga tidak seharusnya dipertikai memandangkan ia digunakan untuk kepentingan umum.

“Saya harap tiada pihak membangkitkan isu ini kerana kesihatan juga sama penting dengan pendidikan,” katanya.

Pada 2012, Yeoh dilaporkan berkata, Klinik Kesihatan Subang Jaya dijadual dibina menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) dengan kos RM8 juta, namun tiada sebarang perkembangan.

“Jadi, untuk kali ini, kita akan sentiasa memantau dan menyemak perkembangannya bagi memastikan janji mereka ditepati,” katanya.-NFN-

Tiada ulasan: