Selasa, 24 Januari 2017

Cadangan jadikan Rukun Negara mukadimah Perlembagaan berbahaya: Timbalan Presiden Isma



ISMA WEB



Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI – Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, Aminuddin Yahya menyifatkan cadangan beberapa ahli akademik serta aktivis untuk menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan sebagai amat berbahaya.

Ini kerana, katanya, ia bercanggah dengan nilai kemurnian Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Bahkan, dalam Rukun Negara tidak dinyatakan secara jelas tentang kedudukan Islam, sebaliknya hanya menyatakan kepercayaan kepada Tuhan.

Justeru, beliau berkata, cadangan itu akan mengakibatkan Islam diletak sama taraf dengan agama-agama lain yang mana bertentangan dengan Perlembagaan dan menyinggung kuasa Duli Yang Maha Mulia Yang diPertuan Agong selaku Ketua Agama Islam di negara ini.

Selain itu, Rukun Negara juga tidak menyatakan kedudukan orang Melayu yang juga termaktub dalam Perlembagaan.

“Ini akan menghakis kedudukan orang Melayu secara halus. Ia satu usaha yang mesti ditentang dan yang tidak memahami nilai-nilai yang terkandung dalam Perlembagaan. Cadangan ini merupakan pemikiran liberal yang mahu mencairkan Islam dan kedudukan orang Melayu.

“Kita mohon rakyat dan ahli-ahli Parlimen menolak cadangan ini yang dikatakan akan dilobi kepada ahli-ahli Parlimen sebelum dibentang kepada Parlimen.

“Kita juga menuntut agar cadangan ini dibahas dan dinilai oleh pakar-pakar Perlembagaan terlebih dahulu dan bukan hanya sekelompok kecil manusia,” tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, sekumpulan ahli akademik dan aktivis telah melancarkan satu inisiatif untuk menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan.

Inisitiaf yang dikenali sebagai Rukun Negara Mukadimmah Perlembagaan (RMP) tersebut bermatlamat antaranya menjadikan dokumen negara itu sebagai garis panduan kepada penggubalan undang-undang negara.

RMP digerakkan oleh lebih 100 individu berpengaruh di kalangan masyarakat awam, termasuk pakar perlembagaan berfikiran liberal, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi; ahli akademik, Prof Dr Tan Chong Tin; peguam, Firdaus Husni serta aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir dan Zainah Anwar.
Kumpulan itu malah mengalu-alukan rakyat Malaysia supaya tampil menyokongnya menerusi tandatangan selama tiga bulan sehingga 30 April.

Tandatangan yang dikumpulkan akan dipersembahkan kepada persidangan Majlis Raja-Raja dengan harapan raja-raja akan menasihatkan Kabinet dan Parlimen bagi menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan

Tiada ulasan: