shahbudindotcom
Najib
Razak adalah seorang Perdana Menteri. Lebih dari itu, berdasarkan
pengakuannya sendiri mengenai kemasukan RM2,600 juta ke dalam akaun
peribadinya, Najib juga adalah bilionaire.
Tetapi isi ucapannya mengenai DAP dua hari lalu hanya memperlihatkan beliau seperti seorang cybertrooper saja levelnya.
"Selepas dicongak parti-parti di 'sebelah sana', macam mana pun DAP yang akan menguasai mereka.
“Tak mungkin PKR, AMANAH atau parti ‘bunga’ kerana kerusi mereka lebih sedikit berbanding DAP.
“Cuba bayangkan jika bumi Malaysia ini dikuasai DAP, apa implikasinya?
“Ingat
boleh mengadu atau berteduh di bawah mereka? Di mana kita hendak
meminta dan pada siapa hendak merayu?” kata Najib ketika berucap dalam
satu majlis di Kuala Ketil, Kedah.
Sebagai
Perdana Menteri, Najib seharusnya bercakap dengan hujah yang lebih
tinggi daripada itu untuk menyanggah DAP. Sebagai bilionaire pula,
beliau sepatutnya mampu mengupah penasihat-penasihat yang baik untuk
memberinya nasihat mengenai sesuatu isu yang hendak diperkatakannya,
jika pun pemikirannya sendiri tidak mampu berbuat yang lebih baik.
Berucap
dengan nada menakut-nakutkan rakyat mengenai DAP sudah tidak laku lagi
di era telefon pintar ini. Jika cybertrooper upahan yang berhujah
demikian, ia mungkin boleh diterima kerana memang level mereka
membangkitkan sentimen-sentimen sempit seperti itu tanpa mengambil kira
perubahan sekeliling.
Namun,
bagi seorang Perdana Menteri yang merupakan pemimpin kepada seluruh
rakyat dan semua kaum, bermain dengan sentimen kaum dan menakut-nakutkan
seperti itu, jelas tidak boleh diterima dan masih terperangkap dalam
dunia analog.
Apa yang membuatkan rakyat perlu takut dengan DAP?
Di
Pulau Pinang, DAP menguasai kerajaan negeri dan di Selangor pula, Adun
DAP juga paling ramai, pernahkah terdengar sesiapa yang tertindas, tidak
boleh mengadu dan tiada tempat untuk berteduh?
Ada sesiapa yang mati atau merempat sejak dua negeri tersebut tidak ditadbir BN bermula 2008 yang lalu?
Dalam
waktu yang sama, bayangan Najib bahawa DAP akan menang lebih banyak
kerusi dan menguasai Pakatan Harapan tidak lebih hanyalah ketakutannya
semata-mata. Ia tidak mungkin akan menjadi kenyataan.
Jika
tsunami Cina yang sedia ada sekarang bercampur dengan tsunami Melayu
yang bakal berlaku dalam PRU 14 akan datang, PKR, Bersatu dan Amanah
sebenarnya mampu menampilkan lebih banyak wakil Melayu di Parlimen
berbanding DAP.
DAP
hanya akan bertanding 51 daripada 222 kerusi keseluruhannya. Untuk
membentuk kerajaan, Pakatan Harapan memerlukan minima kemenangan 112
kerusi.
Jika
diandaikan DAP menang semua 51 kerusi yang ditandinginya sekali pun
daripada 112 kerusi minima yang diperlukan untuk membentuk kerajaan,
pihak yang lebih banyak kerusi tetap PKR, Bersatu dan Amanah.
Ketiga-tiga parti ini adalah parti Melayu dan dikuasai Melayu.
Bagaimana pihak yang mungkin menang 51 daripada 112 kerusi boleh dianggap menguasai majoriti dan menjadi ketua?
Lagi
pun, lawan DAP dalam piliharaya ialah MCA, MIC atau Gerakan. DAP tidak
bertanding di kerusi Melayu atau berlawan dengan UMNO. Kalah atau menang
DAP, kerusi-kerusi itu tetap diwakili oleh bukan Melayu dan ia adalah
pembahagian komposisi berdasarkan kedudukan kaum di negara ini.
Di mana logiknya sesiapa harus bimbang atau takut dengan DAP?
Oleh
itu, hanya seorang cybertrooper yang berlevel upahan saja sanggup
bermain-main dengan sentimen menakut-nakutkan sebegitu tanpa mengambil
kira dunia sebenarnya sudah banyak berubah. Seorang Perdana Menteri
patut mampu menampilkan idea yang lebih baik daripada itu.
Menakut-nakutkan
tentang DAP hanya umpana menakut-nakutkan orangramai tentang hantu.
Hantu boleh diberi gambaran yang bermacam-macam, tetapi wajahnya yang
sebenar tetap misteri dan pelbagai. Wajah hantu hanya muncul dalam
filem atau khayalan semata-mata.
Hari
ini, dengan peredaran masa, tidak ramai lagi yang takut dengan hantu,
bahkan ramai yang mencari hantu dan berebut-rebut menonton filem hantu.
Begitu
juga dengan DAP, ia tidak lagi ditakuti. Dengan peredaran masa di mana
semakin ramai Melayu menyertai parti itu, DAP bahkan lebih disenangi
berbanding dahulu.
Kalau
mahu dibuat perbandingan, khususnya dari segi kepentingan dan masa
depan negara, Najib sendirilah yang seharusnya rakyat lebih takuti.
Sejak menjadi Perdana Menteri, melalui hubungan baiknya dengan Cina Jho
Low@Eric Tan, mewujudkan 1MDB sehingga nama Malaysia masyhur di seluruh
dunia dan kebelakangan ini menyerahkan pula banyak harta kepada negara
China, tiada ketakutan yang lebih kita takut selain kekalnya Najib
berkuasa lagi selepas PRU 14 nanti.
Tidak
ada mana-mana pemimpin di dunia, hanya melalui hubungan dengan seorang
individu bernama Jho Low@Eric Tan saja, seluruh dunia gempar dibuatnya.
Bukan
DAP yang perlu kita takuti, tapi Najib yang sekian banyak onar, mungkin
berganda lagi onarnya jika kekal berkuasa itulah yang perlu lebih
menakutkan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan