Oleh Zainal Salleh
[ULASAN] Timbalan
Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau telahpun menarik balik dan
memohon maaf atas kenyataannya bahawa sekolah agama adalah ancaman pada
perpaduan negara.
Bagaimanapun
Biro Pendidikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu pihak polis
meneruskan juga siasatan menurut Akta Hasutan, kerana 'ia telah
mengguris perasaan masyarakat Islam di negara ini.'
"Kenyataannya dilihat sengaja mewujudkan kebencian, menghasut dan
menimbulkan perasaan yang tidak tenteram dalam kalangan masyarakat,"
kata pengerusi biro pendidikan PPBM, Mohd Rafiq Naiza Mohideen.
Perihal
sensitifnya kenyataan seumpama ini memang sukar dinafikan. Naib
Presiden PAS, Idris Ahmad menganggap pemikiran Dr Dominic itu sebagai
biadap dan tidak memahami sejarah pembinaan negara.
"Jika atas alasan ada pelajar keluaran sekolah agama ekstremis maka
kita boleh beri alasan pelajar sekolah vernakular, sekolah aliran
Inggeris, aliran kebangsaan juga ada melahirkan ekstremis.
"Apakah kita mahu cadang supaya sekolah ini juga dihapuskan? Tentu
tidak. Ini adalah kes yang terpencil," katanya dalam satu kenyataan
media.
Malah
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan semua pihak
supaya berhati-hati memberi pandangan terhadap sistem pendidikan
terutama membabitkan sekolah aliran agama di negara ini.
Katanya, jika ada pihak ingin mengaitkan sekolah agama sebagai ancaman
perpaduan, mereka perlu terlebih dahulu memahami latar belakang
pendidikan agama di negara ini yang tentunya sangat panjang.
"Tidak patut menuding jari mengatakan sekolah agama ada kaitan
mana-mana pengganas kerana semuanya dipantau rapi kerajaan walaupun ia
sekolah persendirian.
"Jika ada insiden yang berlaku, pihak yang mendakwa perlu spesifik dan
tidak melabelkan sekolah agama secara keseluruhan," katanya.
Baik pemimpin PAS mahupun menteri Umno berkenaan memang wajar menegur
kenyataan yang semberono sebegitu kerana tidak faham sejarah pembangunan
pendidikan agama di Malaysia.
Bagaimanapun bagi Biro Pendidikan PPBM untuk mengambil sikap yang
kelihatan tegas begitu, ia seharusnya memahami sejarah perjuangan
pemimpin-pemimpinnya terlebih dahulu.
Sebenarnya
pemikiran yang agak tersasar daripada realiti sosio-politik Malaysia
seperti yang disuarakan oleh Dr Dominic Lau bukanlah sesuatu yang baru.
Mungkin benar kata Naib Presiden PAS dan Menteri Pendidikan bahawa
pandangan pemimpin Gerakan itu adalah kerana jahil soal sejarah
pendidikan di negara ini.
Bagaimanapun beliau segera menyedari keterlanjurannya dan memohon maaf tanda tidak mahu isu itu diperpanjangkan.
Mahathir pernah 'setuju' sekolah pondok sarang ektremis
Bagaimanapun pada tahun 2001 seorang pemimpin negara yang mempunyai
kuasa penuh bagaimana mahu menilai sistem pendidikan di Malaysia juga
telah menghukum bahawa sekolah-sekolah agama adalah sarang ekstremisme.
Pemimpin
berkenaan ialah Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau akur
dan tunduk pada pemikiran presiden Amerika Syarikat ketika itu, George W
Bush bahawa madrasah agama Islam ialah tapak penyemaian ideologi
pengganas.
Entah kerana takut ditekan oleh Amerika Syarikat secara politik atau
ekonomi, Mahathir menarik balik semua bantuan pada Sekolah-sekolah Agama
Rakyat (SAR) di Malaysia.
Mungkinkah Dr Dominic Lau cukup bersetuju dengan pemikiran Mahathir itu
sehingga gagal memahami sejarah dan realiti sosio-politik dan masih
berpaut pada pemikiran Mahathir itu?
Anehnya, tidak seperti Dr Dominic, Dr Mahathir tidak pula menarik balik
kenyataannya terhadap aktiviti sekolah-sekolah agama rakyat dan memohon
maaf pada rakyat muslim di negara ini.
Namun syukurlah pengganti Mahathir sudahpun mengubah keputusan
“kejamnya” terhadap SAR dan kini sistem integrasi pendidikan agama dan
akademik sudah jauh berkembang.
Sistem sekolah agama kerap membuktikan bahawa pelajar yang mengikuti
silibusnya mampu menyesuaikan diri dengan tuntutan akademik sekolah arus
perdana malah mencatat keputusan cemerlang.
Dr Mahathir kerap juga menyuarakan rasa peliknya mengapa anak-anak
Melayu profesional yang telah mendapat manfaat dari sistem pendidikan
moden berlumba-lumba menghantar anak mereka belajar ke sekolah tahfiz
dan agama.
Soalnya, bagaimana PPBM mahu menjadi juara mempertahankan sistem
pendidikan agama Islam sedangkan pengerusinya sendiri tidak yakin dengan
manfaat dan kebaikan sistem berkenaan?
Amat malang bagi penyokong PPBM yang tidak memahami sejarah politik
pemimpin mereka yang sebenarnya tidak merestui dan tidak berkongsi
sentimen dengan mereka.
Bolehkah sikap, pemikiran yang negatif terhadap sistem pendidikan Islam
ini dianggap sebagai satu unsur “musuh dalam selimut” dalam perjuangan
PPBM mendaulatkan sistem pendidikan agama di Malaysia?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan