Isnin, 15 Disember 2014

UNDP sahkan orang Melayu masih miskin

AZIZ MUDA


KUALA LUMPUR: Walaupun kerajaan Umno-BN mengatakan kadar kemiskinan tegar telah berjaya dikurangkan sehingga kurang 1 peratus daripada 60 peratus sebelum merdeka, tetapi laporan terbaru badan dunia membuktikan kaum Melayu dan Bumiputera di negara ini masih miskin.

Malah, berdasarkan laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013 oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menunjukkan bilangan kemiskinan relatif di negara ini meningkat sejak 2007.

Exco Pemuda PAS Malaysia, Mohd Shahir Sulaiman (gambar) berkata, berdasarkan laporan UNDP, satu daripada lima isi rumah (20 peratus) masih dianggap miskin relatif bagi tahun 2012 yang jelas menunjukkan tahap kemiskinan masih membelenggu negara.

Menurut beliau, kerajaan Umno-BN menggunakan kayu ukur lain bagi menentukan garis kemiskinan dengan meletakkan mereka yang berpendapatan RM800 sebulan sebagai kategori miskin.

Manakala UNDP pula, katanya menggunakan kaedah alternatif yang  diterima di seluruh dunia, iaitu ukuran kemiskinan relatif atau menggunakan indeks kemiskinan multidimensi yang menetapkan purata pendapatan rakyat Malaysia RM5,000 sebulan.
 
"Jadi berdasarkan kaedah UNDP, jika seseorang itu berpendapatan separuh daripada pendapatan purata malah RM3,000 sebulan, mereka dikira miskin. Kaedah yang digunakan UNDP itu sememangnya lebih tepat berbanding kayu ukur yang digunakan oleh kerajaan," katanya.

Ketika dihubungi 5 Disember lalu, beliau berkata, berdasarkan ukuran UNDP itu, orang Melayu dan Bumiputera di negara ini sememangnya masih miskin sama ada di bandar dan luar bandar kerana kebanyakan mereka menerima gaji kurang RM5,000 sebulan.

"Realitinya jika berpendapatan RM1,500 sebulan tentulah tidak mencukupi. Apatah lagi jika tinggal di bandar. Miskin bandar pula jauh lebih bahaya daripada miskin luar bandar kerana mereka tidak ada saudara untuk membantu dan tak ada tanah untuk bercucuk tanam," ujarnya.

Beliau yang juga penganalisis ekonomi berkata, laporan terbaru UNDP turut menyebut 90 peratus penduduk kampung tiada simpanan sama sekali, berbanding 86 peratus penduduk bandar. 
 
Katanya, walaupun data itu dinafikan oleh Bank Negara kerana mereka yang tidak mempunyai simpanan itu juga mempunyai akaun bank, laporan itu tetap boleh diterima kerana  mempunyai akaun bank tidak semestinya mempunyai simpanan, apatah lagi dengan nilaian besar.

Beliau turut kesal dengan kadar hutang isi rumah yang meningkat pada paras yang membimbangkan iaitu 140 peratus berbanding Pendapatan Lebihan atau 86.8 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Kedudukan orang Melayu dan Bumiputera yang terus kekal miskin, menurut beliau, adalah bukti kegagalan kerajaan Umno-BN meningkatkan taraf hidup Bumiputera di negara ini, walaupun mereka sering melaungkan sebagai pembela kaum Melayu.

"Malah kerajaan Umno-BN ternyata sengaja membiarkan orang Melayu berada dalam keadaan miskin, bagi memudahkan mereka dipengaruhi dan terus bergantung kepada kerajaan supaya mereka terus memberikan undi kepada Umno-BN dalam pilihan raya," ujar beliau.

Dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, parti tersebut mendakwa bahawa kerajaan yang ditunjangi Umno berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar dari 60 peratus sebelum kemerdekaan kepada kurang daripada 1 peratus pada hari ini.

Data yang dinyatakan dalam perhimpunan itu amat jauh berbeza dengan laporan UNDP, sehingga menyebabkan kerajaan Umno-BN dilihat terus memperbodohkan rakyat dengan angka yang sengaja diputarbelitkan.

Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013 dilancarkan oleh Wakil Tetap UNDP bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Michelle Gyles-McDonnough di Kuala Lumpur pada 25 November lalu.

Manakala laporan tersebut dikeluarkan oleh Tan Sri Dato' Dr Kamal Salih, profesor Pembangunan dan Ekonomi di Universiti Malaya (UM); Dr Lee Hwok Aun, daripada Jabatan Kajian Pembangunan UM; dan Dr Muhammad Khalid daripada Khazanah Research Institute.

Laporan itu membuat kesimpulan bahawa polisi-polisi baru perlu digubal dengan segera untuk menyelesaikan kemelut kesenjangan jurang pendapatan, bagi memastikan kekuatan ekonomi rakyat Malaysia dapat dipertingkatkan. - HARAKAHDAILY,

Tiada ulasan: