MALAYSIAKINI
Kami penuntut pengajian Islam dan Arab di Timur Tengah dan Malaysia
merasa bertanggungjawab untuk menyokong surat terbuka kepada rakyat
Malaysia daripada 25 orang tokoh Melayu untuk menyokong debat dan dialog
terbuka berkenaan perundangan Islam.
Ini bertepatan dengan firman Tuhan dalam surah an-Nahlu yang bermaksud:
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan
dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang
engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."
Undang-undang jenayah syariah seringkali tidak mengikuti semangat kebebasan individu dalam Perlembagaan Malaysia.
Hal ini perlu diperhalusi semula kerana jika diteliti sejarah Islam, perbezaan dibuat antara dosa peribadi dan jenayah.
Tidak seharusnya dosa peribadi dikanunkan melalui undang- undang jenayah
apabila kita mempunyai jalan lain melalui gerakan sivil dan dakwah
untuk “amar ma'ruf wa nahy al-munkar.”
Dalam kitab Al-Ihya' Imam al-Ghazali terdapat riwayat tentang
Umar RA yang memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam
keadaan yang tidak wajar.
Lelaki tersebut membantah Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah
pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga
perkara.”
Umar bertanya: “Apa dia?”
Dia berkata: Allah Taala telah berfirman: ‘Jangan kamu mengintip mencari
kesalahan orang lain.’ Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah
berfirman: ‘Masukilah rumah melalui pintu-pintunya.’ Sesungguhnya engkau
telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: 'Janganlah kamu masuk ke
dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu terlebih
dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya.'
Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka Umar pun meninggalkannya. ”
Imam Ghazali menyebut: “Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci
pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus
seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui
perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa
yang berada di luar rumah tersebut.”
Masyarakat Malaysia adalah masyarakat majmuk dan umat Islam di negara ini berpegang dengan aliran agama yang berbeza-beza.
Kita harus memahami dan mengkaji kepelbagaian dengan lebih baik melalui
penelitian ke atas kitab suci, selain menjawab tuntutan dunia moden hari
ini melalui penelitian ilmiah.
Proses ‘syariahisasi’ secara melulu akan menimbulkan kekacauan bukan
saja dalam ruang praktik keagamaaan, malah ia akan menghasilkan
pergeseran di kalangan masyarakat.
Setakat ini kita mula kerap mendengar retorik bernada perkauman dan ketaksuban.
Segala kenyataan yang mengundang api perkauman dan provokasi ke atas
agama lain berpunca daripada kegagalan memahami isi terpenting Quran
yang sangat menitik beratkan soal kemanusiaan dan persahabatan dalam
menghadapi realiti kemajmukan agama dan budaya.
Allah berfirman: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan
berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama
(kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu;
sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah
al-Mumtahanah: Ayat 8)
Al-Quran juga dengan jelas menuntut kita untuk menerima, menghargai dan belajar daripada berbagai ragam identiti manusia.
Allah menyebut dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari
lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan
bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara
satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah
ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Mendalam Pengetahuan-Nya."
Disokong oleh pelajar-pelajar Pengajian Islam dan Arab di Malaysia, Mesir, Madinah dan Jordan:
Mohd Syazreen Abdullah
Marwan Bukhari Abd Hamid
Ahmad Syafiq Rahim
Muhammad Arham Munir Merican bin Amir Feisal Merican
Faris Murtadha Fazial
Ahmad Izzuddin Suwardi
Mohd Nasrul Yaqin
Asyraf Muiz Roslan
Mursyid al-Amien Kayati
Tengku Ibrahim Helmi
Muhammad Fakhrur Ridzwan Hashim
Mohamad Hasnan Daud
Muhammad Bazli Rasli
Syairazi Muhammad Husni Mohd Sharoni
Ahmad Amirul Rashid Roslan
Mohamad Rafiq Izzuddin
Mohammad Fadzlurrahman bin Mazri
Muhamad Syamim Ahmad Yunus
Abu Bakar Mohamed Amin
Ag Jazmi Juani
Muhammad Bazli Shah Lan
Muhammad Aiman Abdull Rahim
Muhammad Luqman Ahmad Tarmizi
Muhamad Haziq Fikri Jasni
Tiada ulasan:
Catat Ulasan