Jumaat, 26 Disember 2014

SUK naik air, sidang khas 'hudud' terjejas?

MALATSIAKINI

 
 
Situasi banjir yang semakin buruk di Kelantan, khususnya kawasan Kota Bharu meletakkan Sidang khas DUN untuk meminda Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada 29 Disember bagi membolehkan hudud dilaksanakan di negeri itu, dalam keadaan yang tidak menentu.

Kawasan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Kota Darul Naim, yang menempatkan dewan persidangan negeri, turut dinaiki air sedalam sekaki sejak petang semalam.

Menurut seorang kakitangan Unit Komunikasi Menteri Besar, operasi pusat pentadbiran kerajaan negeri Kelantan kini telah dipindahkan ke sebuah Dewan di Masjid Telipot - kira-kira 3km dari situ.

"Semua kenderaan rasmi kerajaan negeri juga sudah dialihkan ke tempat lebih selamat sejak petang semalam.

"SUK tidak lagi beroperasi, sudah pindah ke Masjid Telipot," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Zam kepada Malaysiakini.

Beliau turut memaklumkan, kawasan Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10, - satu setengah kilometer dari pejabat SUK- juga dinaiki air sedalam setengah kaki petang semalam.

Sementara itu, Timbalan Speaker, Abdul Latif Abdul Rahman ketika dihubungi berkata setakat ini beliau tidak dimaklum sebarang perubahan sidang tersebut.

Katanya, sebarang perubahan mungkin diumumkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob dalam masa terdekat.

"Saya tak boleh jawab sebab saya tidak ada maklumat. Saya sendiri terkepung banjir di Kula Kerai. Rumah saya dinaiki air dan terpaksa berpindah.

"Jika ada perubahan, mungkin menteri besar sendiri akan umum," katanya.

Laporan Bernama menyebut, jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kelantan sedikit menurun iaitu kepada 32,079 orang pagi ini berbanding 34,955 orang malam tadi.

Keadaan di enam jajahan bertambah baik apabila jumlah penduduk yang dipindahkan mula berkurangan termasuk di Kota Bharu apabila hanya 1,198 masih berada di pusat pemindahan berbanding 3,231 semalam.

Angka mangsa banjir juga menurun di Tanah Merah dengan sebanyak 3,546 orang masih berada di pusat pemindahan berbanding 3,840 semalam, Pasir Mas (6,679 berbanding 7,237), Gua Musang (5,150 berbanding 7,385), Tumpat (5,005 berbanding 5,803) dan Pasir Puteh (192 berbanding 193).

Bagaimanapun keadaan banjir di tiga lagi jajahan semakin buruk pagi ini terutamanya di Kuala Krai dengan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,200 berbanding 4,864 orang semalam.

Mangsa banjir di Machang turut bertambah kepada 4,039 berbanding 1,133 manakala Jeli meningkat kepada 1,430 daripada 1,269 orang malam tadi.

Tiada ulasan: