Rabu, 17 Disember 2014

Siapa PERKASA hendak halang Najib? – Nazri

PERKASA harus mencerminkan diri mereka terlebih dahulu sebelum menasihati orang yang sudah lama memerintah negara, kalau tidak ada cermin saya boleh beri


nazriabdaziz


KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini menyelar tindakan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya mengurangkan lawatan kerjanya ke luar negara.

“Saya nak tanya siapa PERKASA hendak beri nasihat kepada Perdana Menteri?,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan “Pameran Khazanah Dari Istana Musim Panas” di Muzium Negara.

Katanya, Najib merupakan seorang ahli politik yang sudah lama menjadi calon pilihan rakyat setiap kali beliau bertanding, sudah tentu apa yang dilakukannya adalah untuk kepentingan rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan, PERKASA seharusnya melihat diri mereka terlebih dahulu sebelum menasihati orang lain terutamanya Perdana Menteri.

“Tengok dulu siapa mereka, saya rasa mereka tidak layak untuk memberi nasihat kepada Perdana Menteri. Saya juga rasa PERKASA ini cemburu tengok Najib keluar negera,” katanya.

Nazri menjelaskan bahawa Najib ke luar negara bukan untuk bercuti semata-mata, sebaliknya Perdana Menteri bekerja untuk rakyat.

“Saya juga ingin menasihatkan PERKASA supaya mencerminkan diri mereka terlebih dahulu sebelum menasihati orang yang sudah lama memerintah negara, kalau tidak ada cermin saya boleh beri,” jelas Nazri.

Sebelum ini, Ibrahim Ali menasihatkan Perdana Menteri supaya mengurangkan lawatan kerjanya ke luar negara, sebaliknya memberi perhatian kepada perkara-perkara dalam negeri.

Beliau berkata, kegagalan Perdana Menteri memberi perhatian kepada masalah dalaman akan menyebabkannya kehilangan jawatan dan Barisan Nasional (BN) kehilangan undi.

“Tidak dinafikan, walaupun beliau ke luar negara atas urusan rasmi, tetapi terlalu kerap sehingga tidak menumpukan kepada rakyat,” katanya sewaktu berucap di Persidangan Agung Tahunan ke 5 PERKASA Ahad lalu.

Tiada ulasan: