Jumaat, 5 Disember 2014

Pro M pertahan kemenangan di UM

SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pro-Mahasiswa di atas kejayaan meraih kemenangan di tiga kampus utama iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan terkini di Universiti Malaya (UM).

Kejayaan ini pada pengamatan Pemuda PAS Malaysia sebagai simbol penolakan generasi muda kepada politik tidak matang dan berat sebelah, politik mengongkong suara mahasiswa serta penolakan kepada jalur politik yang condong kepada dasar kerajaan persekutuan yang tidak menghormati kehendak Gen Y.

Menurut Setiausahanya Abang Ahmad Kardee Abang Masagus, kebangkitan kelompok anak-anak muda yang kritikal ini sekali gus memberi gambaran bahawa mereka bersetuju atau boleh menerima dasar-dasar yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat atau memilih untuk bersikap bebas.

"Pemuda PAS Malaysia berharap agar kelompok yang bakal menjadi pemimpin besar di universiti-universiti ini bersedia untuk terus berjuang dan membela nasib rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan dengan itu, Pemuda PAS Malaysia melahirkan kekecewaan penggunaan nombor siri pada kertas undi sewaktu pemilihan di UKM sebagaimana yang dilaporkan oleh Pengerusi Majlis Politik Nasional, GAMIS.

Tegasnya, penggunaan nombor siri ini sama ada disedari mahupun tidak telah merosakkan nilai kerahsiaan dan ketelusan dalam pemilihan yang sepatutnya bersih dan adil.

Pada masa yang sama, pihak Pemuda PAS Malaysia juga menghargai perjuangan serius yang telah digerakkan oleh pendokong-pendokong Persatuan Mahasiswa Islam terutamanya dari Universiti Malaya dan rakan-rakan mahasiswa lain dalam isu rampasan tanah penduduk Kampung Chubadak Tambahan.

Sementara itu, Pengerusi Pro Mahasiswa Universiti Malaya Safwan Shamsuddin berkata, kemenangan hari ini adalah menunjukkan proses perjalanan universiti selari dengan Falsafah Pendidikan Tinggi Negara memandangkan matlamat sebenar universiti sekarang ini seolah-olah telah terpesong jauh dengan falsafah tersebut.

Katanya, universiti ini perlu dipimpin dan digerakkan bersama Mahasiswa, kakitangan akademik serta kakitangan bukan akademik.

"Barulah objektif sebenar penubuhan Universiti itu mampu terlaksana. Berikan kebebasan tiga kuasa ini untuk membuat keputusan ke arah mana sepatutnya universiti ini bergerak," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, fungsi MPP yang dinyatakan di dalam AUKU cukup kecil tetapi yakin dengan kemenangan Pro Mahasiswa kali ini mereka mampu untuk mengfungsikan MPP dengan  lebih besar bagi mencapai matlamat sebenar universiti tersebut.

Keputusan rasmi pilihan raya kampus Universiti Malaya menyaksikan kemenangan di pihak Pro Mahasiswa dengan mendapat 21 kerusi, diikuti Penggerak Mahasiswa dengan 16 kerusi manakala bebas mendapat tiga kerusi. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: