Ahad, 21 Disember 2014

Palanivel Tidak Akan Letak Jawatan

Oleh: THE STAR
 
 
G.Palanivel.
 
 
EKSKLUSIF -KUALA LUMPUR: Sepanduk mendesak Presiden MIC, Datuk Seri G.Palanivel untuk meletak jawatan digantung dari jejabat Lebuhraya Jalan Tun Razak menjadi perhatian sebelum mesyuarat tergempar jawatankuasa kerja parti itu diadakan di Ibu Pejabat MIC, Khamis lalu.

Sejam sebelum mesyuarat bermula, beberapa ratus ahli parti yang tidak sealiran dengan Palanivel memenuhi pintu masuk bangunan membawa placard dan berteriak menggunakan mikrofon, mendesak beliau supaya meletak jawatan.

Berlaku sedikit kekecohan dan pergelutan di kalangan penyokong beliau dan penyokong lawan.

Pada Sabtu, Palanivel memilih untuk tidak mensensasikan insiden itu dengan berkata, penunjuk perasaan itu adalah kumpulan kecil yang ingin mencetuskan huru-hara.

Kumpulan tersebut katanya, terdiri adaripada mereka yang kecewa kerana tewas dalam pemilihan MIC pada tahun lalu dan berada di 'peringkat bawahan' parti itu.

"Mereka adalah orang yang mendesak saya untuk meletak jawatan. Bagaimana saya mahu meletak jawatan. Ini adalah kumpulan kecil tetapi mereka bukan daripada kepimpinan tertinggi, mereka di peringkat bawahan.

"Saya tidak peduli tentang semua ini. Malah saya masuk ke dalam kereta dan mereka tidak pernah datang dekat dengan saya. Saya berlalu pergi," kata Palanivel dalam satu temu bual.

Palanivel berkata, beliau mendapat sokongan majoriti daripada kepimpinan peringkat negeri dan bahagian serta menegaskan parti itu tidak dibahagikan kepada dua atau lebih kumpulan.

Katanya, kebanyakan ahli yang hadir pada Khamis lalu memberi sokongan kepada beliau.

"Parti kita begitu kuat, seramai 1,000 ahli hadir untuk menyokong saya, kesemua pegerusi MIC negeri dan cawangan ada di sana.

"Hanya sebilangan kecil yang mencetuskan huru-hara, berkelakuan seperti samseng dan bertindak ganas -  kita mesti tahu siapa mereka.

"Mereka cuba mencetuskan provokasi dan kumpulan saya mahu bertindak balas tetapi mereka tidak, mereka hanya berdiam diri," katanya.

Beliau berkata, adalah mustahil segelintir kumpulan penunjuk perasaan dibawah masuk untuk mencetuskan huru-hara.

Ditanya mengenai arahan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS), Palanivel berkata, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) adalah tidak salah disisi undang-undang seperti yang didakwa kumpulan penunjuk perasaan.

RoS pada 5 Disember lalu membatalkan keputusan pemilihan tiga Naib Presiden dan 23 jawatan CWC semasa pemilihan MIC di Melaka, November tahun lalu.

Pertubuhan itu mencadangkan kepada MIC untuk mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 90 hari bagi kesemua jawatan tersebut selepas mendapati berlaku penyelewengan dan melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.

"Kami sudah menang pemilihan itu. Mereka tidak menyalahi undang-undang. Bagaimana CWC yang dipilih boleh dikatakan menyalahi undang-undang? Ia tidak boleh jadi begitu. Calon Pemuda menang, Wanita menang, saya menang, Timbalan menang, semua Naib Presiden juga begitu dan CWC menang dengan majoriti baik.

"Sudah jelas mereka yang tewas hanya mahu mencetuskan masalah didalam parti," kata Palanivel.

Palanivel dan Timbalannya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam akan bertemu RoS pada minggu depan.

"Saya masih berbincang dengan peguam kami mengenai surat daripada RoS.

"Sekiranya mereka menegaskan perlu ada pemilihan semula, kami akan melakukannya - tiada masalah.

"Sekiranya mereka kata tidak perlu, jadi ia akan muktamad," kata Palanivel.

Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan bekas pemimpin MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu, Palanivel menjawab pertanyaan itu dengan tenang dan berkata, beliau seorang yang baik.

"Saya adalah setiausaha akhbarnya sebelum ini. Beliau sentiasa bercakap dengan saya, dia orang yang baik," kata Palanivel.

Samy Vellu mengundur diri pada 2010 selepas 32 tahun menerajui parti itu.

Hubungannya dengan Palanivel dilaporkan mulai tegang sejak itu.

Pada Khamis, tunjuk perasaan terhadap Palanivel diketuai oleh anak lelaki Samy Vellu, Pengarah Strategik MIC, Datuk Seri S.Vell Paari dan bekas Ketua Pemuda Datuk T.Mohan.

Ketika ditanya sama ada kepimpinannya sering kali dibandingkan dengan Samy Vellu, Palanivel menegaskan mereka berbeza sama sekali.

"Tidak. Beliau adalah contoh pemimpin berbeza. Saya bekerja dengan cermat dari Johor sehinggalah ke Kedah. Saya tidak mencetuskan masalah.

"Saya mengukuhkan peringkat akar umbi secara senyap-senyap. Saya menjalankan tugas, menyediakan peruntukan kepada kuil dan NGO. Ia tidak berlaku pada masa itu.

"Kami membantu mereka yang memerlukan bantuan menerusi dana Manickavasagam sebagai contoh dan ia bukan untuk orang kaya.

"Kami juga memberi bantuan pinjaman kepada pelajar dan ianya tanpa faedah," katanya.

Pada Jumaat, Palanivel mengkritik tindakan sekumpulan penunjuk perasaan dengan menegaskan mereka yang berkelakuan samseng dan ganas tiada tempat di dalam parti itu.

Beliau meminta mereka yang bertanggungjawab untuk mencermin diri sendiri dan memutuskan sama ada tindakan mereka memberi sebarang faedah kepada masyarakat India dengan cara itu.

“MIC berusaha untuk membantu masyarakat. Ini bukan filem dimana samseng adalah hero," katanya.

Tiada ulasan: