Rabu, 3 Disember 2014

Nufam: Akta MAS baharu nafi hak pekerja


MAS  
MAS
SHAH ALAM - Akta MAS baharu yang diluluskan, minggu lalu, didakwa bercanggah dengan undang-undang pekerjaan sedia ada dan beri kekebalan mutlak kepada MAS dalam hal ehwal pekerja.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), Mohd Akram Osman berkata, akta baharu itu menghapuskan sama sekali hak pekerja untuk membuat apa-apa tuntutan atau memfailkan kes mahkamah terhadap MAS.

"Ini memberikan imuniti sepenuhnya kepada syarikat," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pemilik MAS, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) juga tidak membuat sebarang perbincangan dengan kesatuan pekerja syarikat itu sebelum akta itu dibentangkan di Parlimen.

Katanya, Khazanah sepatutnya memanggil semua pihak terlibat membincangkan penyelesaian untuk kira-kira 100 kes tuntutan dan kes mahkamah yang difailkan kakitangan terhadap MAS.

"Mereka tidak boleh sewenangnya laksana sesuatu tanpa berunding dengan Nufam. Menang atau tidak, itu hak mahkamah untuk tentukan. Tetapi dengan akta baharu ini, MAS tutup terus peluang pekerja untuk gunakan undang-undang sedia ada," katanya.

Menurutnya, Nufam menggesa Khazanah mengeluarkan semua klausa dalam Akta MAS baharu yang bercanggah dengan Akta Pekerjaan 1955.

Tiada ulasan: