Satu gabungan 15 NGO mensasarkan untuk menghimpunkan 10,000 orang pada malam sambutan ambang tahun baru 2015 bagi menuntut harga minyak diturunkan ke tahap RM1.90 seliter.
Pengerusi NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN), Azan Safar berkata demikian selepas pelancaran risalah #Tuntut Harga Minyak RM1.90 di Masjid Negara petang ini.
Katanya, TURUN yang mengetuai gerakan itu juga akan meneruskan jelajah khususnya di Lembah Klang bagi menarik sokongan rakyat untuk turun bersama mereka untuk perhimpunan jam 9 malam itu.
"Di peringkat negeri, kita serahkan kepada (jawatankuasa peringkat) negeri. Kita sasarkan 10,000 rakyat akan turun pada malam tersebut," katanya.
Beliau berucap sewaktu mengumumkan pelancaran risalah itu di perkarangan Masjid Negara sejurus solat Jumaat petang ini.
Selain TURUN, kempen itu juga digerakkan oleh Pemuda PAS, sayap pemuda PKR, AMK, Gamis dan juga PROTES.
Turut serta di pelancaran itu ialah Naib Ketua AMK Fahmi Fadzil, Ketua
Koordinator Jingga 13 Fariz Musa dan juga wakil mahasiswa.
Sementara itu, Fahmi dalam ucapannya berkata kerajaan sepatutnya
menurunkan harga minyak dengan segera, memandangkan situasi harga minyak
dunia semasa yang kini jatuh mendadak.
"Tak perlu tunggu enam bulan lagi baru nak turun.
"Kita sudah buat perkiraan, paling realistik boleh turun sampai RM1.90," katanya.
Fariz pula dalam ucapannya menyifatkan kenaikan harga minyak sebagai
"ibu segala kenaikan" yang akan memeberi kesan kepada harga barangan
keperluan yang lain.
Beliau merujuk kepada tindakan kerajaan menaikkan harga petrol RON95 dua
kali sepanjang tahun ini sehingga menyebabkan kenaikan sebanyak 40 sen.
"Mereka umum naik 40 sen, tetapi hanya turun 4 sen," katanya merujuk
kepada penurunan terbaru bermula 1 Disember lalu selepas kerajaan
menetapkan harga RON95 secara apungan terkawal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan