Wakil-wakil Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat menghantar petisyen membantah hukuman yang dikenakan kepada pemimpin pelajar Universiti Malaysia di hadapan Bangunan Canseleri, hari ini. - Foto  Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM Wakil-wakil Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat menghantar petisyen membantah hukuman yang dikenakan kepada pemimpin pelajar Universiti Malaysia di hadapan Bangunan Canseleri, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
 
 
KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar Ibrahim hari ini hadir ke Universiti Malaya (UM) bagi menghantar petisyen membantah hukuman yang dikenakan kepada lapan pelajar UM.

Izzah yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai mendakwa, pihak UM seolah-olah menyekat kebebasan bersuara pelajar, selain bersikap 'pilih kasih' apabila hanya memberi laluan kepada pemimpin BN untuk berforum dalam universiti.

"Petisyen ini dipersetujui oleh ahli Parlimen PR seramai 42 menyerahkan petisyen kepada wakil Naib  Canselor UM, Profesor Datuk Dr Mohd Amin Jalaluddin  kerana  kami tidak dibenarkan masuk ke dalam Dewan Canseleri UM.

"Kami mengulangi hakikat bahawa hukuman yang dijatuhkan ke atas lapan pelajar yang terlibat dibuat berlandaskan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) iaitu undang-undang yang telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan (2011) sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia kerana mencabuli hak kebebasan bersuara rakyat.

"Kami ingatkan UM bahawa Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, Tun Dr Mahathir Mohamad, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin semua pernah hadir dalam forum bersama pelajar. Nampaknya kehadiran ahli politik bukan asing ke dalam kampus, tetapi asalkan bukan ahli Parlimen PR," katanya di hadapan Canseleri UM pagi ini.

Oleh itu, jelas Izzah beliau mendesak sepenuhnya agar tindakan tatatertib yang dikenakan kepada pelajar dalam pendakwaan mereka ditarik balik.

"Kami tegaskan permintaan kami supaya pihak pentadbiran UM menarik balik hukuman yang dikenakan terhadap kesemua pelajar UM8 yang terlibat, seraya menggunakan peluang ini sebagai pemangkin ke arah menggalakan kebebasan akademik mahasiswa," katanya.

Turut hadir ketika menyerahkan petisyen bantahan tersebut ialah, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Shah Alam, Datuk Seri Khalid Abd Samad, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Tze Tzin Sim.