Mohd Nor Azhar membantu memindahkan motosikal milik jirannya ke atas bumbung di Taman Soleheen, Bukit Mentok bagi mengelakkan rosak ditenggelami banjir. Mohd Nor Azhar membantu memindahkan motosikal milik jirannya ke atas bumbung di Taman Soleheen, Bukit Mentok bagi mengelakkan rosak ditenggelami banjir.
 
 
BUKIT MENTOK – Akibat air naik dengan cepat, sebuah motosikal milik seorang penduduk Taman Soleheen, dekat sini, terpaksa diusung ke atas bumbung dengan menggunakan jengkaut bagi mengelakkan rosak ditenggelami banjir.

Dalam usaha mengalihkan motosikalnya itu, mangsa, Aziwade Che Alias, 34, yang memiliki jengkaut berkenaan, mendapatkan pertolongan daripada dua jirannya.

Jiran hadapan rumahnya, Mohd Nor Azhar Hassanusi, 28, berkata, dalam keadaan cemas ketika air naik dengan laju, mereka sepakat untuk mengangkat motosikal ke bahagian bumbung rumah, malam kelmarin.

“Kami penduduk taman tidak sangka air akan naik dengan laju, sebab itu jiran saya tidak sempat alihkan motosikal dan barang berharga dalam rumahnya. Namun dalam keadaan buntu, datang idea dan kami segera angkat motosikal ke bumbung.

“Jengkaut digunakan untuk angkat motosikal ini turut digunakan untuk membantu memindahkan jiran dan penduduk taman sehingga ke kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai bagi mengelakkan mangsa mengharung air yang agak dalam. Dalam bencana
banjir besar tahun lalu pun, jengkaut ini turut diguna,” katanya.

Menurut Jurutera Projek Syarikat Haven Engineering yang beroperasi dalam Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) Teluk Kalong ini lagi, dia bagaimanapun bernasib baik kerana sempat mengalihkan keretanya ke kawasan Klinik Kesihatan Bukit Mentok sebelum air naik.

Akibat bencana berkenaan, semua 30 rumah di Taman Soleheen ditenggelami air dan sehingga jam 6 petang semalam, semua rumah terlibat tenggelam separas pinggang orang dewasa.

Kata Mohd Nor Azhar, sejak rumahnya dinaiki air, dia sekeluarga berpindah ke rumah keluarga di Kampung Geliga.