KUALA LUMPUR - Kerajaan dijangka mengumumkan harga baharu minyak
RON95 dan RON97, pada kadar yang lebih rendah berikutan kejatuhan harga
minyak global, pada 31 Disember ini.
Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Ahmad Maslan berkata kadar itu belum
dapat diumumkan pada masa ini memandangkan kerajaan masih mengkajinya.
Beliau berkata, berikutan penurunan harga minyak itu, peniaga diminta
menurunkan harga barang keperluan harian memandangkan harga barang
masih tinggi dan belum diturunkan walaupun harga bahan api sudah
diturunkan sebelum ini.
Bagi menangani isu berkenaan, kerajaan mengenal pasti 10 syarikat yang
mendominasi 80 peratus pasaran barangan keperluan di Malaysia, untuk
berbincang menurunkan harga barangan, katanya.
"Saya berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan
Koperasi (KPDNKK) mengambil tindakan berjumpa dengan sepuluh syarikat
berkenaan untuk berbincang, daripada terus mengenakan tindakan disiplin
menerusi Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, kerana ia memberi
kesan kepada kos pembelian barangan oleh pengguna.
"Yang menjadi masalah, walaupun harga minyak diturunkan namun pengilang,
peniaga dan pengusaha masih mengekalkan harga yang sama atau menaikkan
harga sedangkan mereka boleh menurunkannya berikutan kos perniagaan
sudah dapat diturunkan," katanya pada pelancaran Strategi Baharu
Korporat Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV), Khamis.
Mengenai pendaftaran untuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST), Ahmad berkata, sejumlah 224,813 syarikat sudah mendaftar, dan
angka ini sudah melebihi sasaran awal 150,000 syarikat sehingga hujung
Disember.
Angka ini dijangka terus meningkat sebelum pelaksanaan CBP mulai 1 April 2015.
"Pada peringkat awal, kerajaan hanya menyasarkan 150,000 syarikat
mendaftar pada akhir Disember, dan berpotensi menjana RM23 bilion
perolehan, dan berdasarkan perkembangan angka yang mendaftar ketika ini,
perolehan juga dijangka dapat ditingkatkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan