Isnin, 15 Disember 2014

Kenyataan Lim Guan Eng dikecam Pemuda Umno


Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto Bernama Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto Bernama
 
 
REMBAU - Pemuda Umno mengecam kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dilihat secara terang-terangan memperlekehkan serta tidak menghormati undang-undang syariah.
 
Ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kenyataan yang dibuat oleh Guan Eng itu menimbulkan kemarahan seolah-olah tidak menghormati undang-undang yang dibentuk sebelum ini serta sensitiviti agama.
 
Menurutnya, pihaknya juga menuntut pendirian Pas mengenai kenyataan tidak sensitif Guan Eng berkenaan dan pendirian yang dibuat Pas haruslah tidak samar seperti menyatakan wujud kebebasan untuk memberikan pandangan berbeza.
 
“Ini bukan pendirian parti politik, ini adalah pendirian ketua kerajaan negeri iaitu ketua menteri bagi sebuah negeri yang ditadbir pakatan yang mana Pas merupakan anggota pakatan tersebut.
 
“Apabila undang-undang Islam diperlekehkan dengan begitu nyata dan terang sekali oleh seorang rakan kongsi pakatan (PR), rakan kongsi Pas. Saya percaya rakyat Malaysia terutamanya umat Islam menanti-nanti pendirian pas,” katanya pada sidang media sempena Program Rembau Challenge di sini, semalam.
 
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, beliau amat berdukacita dengan pandangan Guan Eng berkenaan.
 
Baru-baru ini, sebuah portal berita online melaporkan, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan, tiada larangan dikenakan terhadap masyarakat bukan Islam di negeri itu daripada menggunakan kalimah ALLAH.
 
Menurutnya, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri 2004, yang dilampirkan dalam satu fatwa berhubung perkara itu pada 2010, tidak terpakai kepada orang bukan Islam.
 
“Enakmen itu hanya diguna pakai oleh masyarakat Islam, tidak oleh bukan Islam.
 
Jadi, tiada isu timbul,” katanya mengulas gesaan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker agar Pulau Pinang membatalkan larangan itu.

Tiada ulasan: