Rabu, 17 Disember 2014

Kastam catat kutipan hasil RM33.6 bilion

BERNAMA


KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) setakat ini mencatat kutipan RM33.6 bilion atau 93.3 peratus daripada RM36 bilion sasaran kutipan hasil untuk tahun ini.
  
Menurut Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad jumlah itu meningkat sebanyak 6.73 peratus berbanding RM31.48 bilion pungutan hasil bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.
  
"Tiga komoditi penyumbang utama kutipan itu ialah kenderaan bermotor (RM12.2 bilion), rokok (RM3.4 bilion) dan petroleum mentah (RM1.53 bilion).
  
"JDKM berharap prestasi pungutan hasil yang konsisten dapat dikekalkan sehingga ke penghujung tahun yang masih berbaki lebih kurang dua minggu sahaja lagi supaya sasaran RM36 bilion dapat dicapai," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media sempena Mesyuarat Pengarah-Pengarah Kastam Se-Malaysia kali ke-75 di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengarah Kastam negeri Datuk Sarip Ismail.
  
Khazali berkata mengikut pecahan aktiviti pula, duti eksais menyumbang 23.90 peratus daripada jumlah kutipan diikuti cukai perkhidmatan dan cukai jualan(tempatan) masing-masing menyumbang 17.76 peratus dan 17.28 peratus.
  
Sementara itu sehingga akhir November lepas, sebanyak 2,445 kes rampasan dan 3,010 tangkapan dilakukan jabatan berkenaan dalam usaha membasmi aktiviti penyeludupan di negara ini.
  
Khazali berkata antara barangan yang mencatatkan nilai yang paling tinggi dirampas ialah dadah 69 kes membabitkan nilai rampasan RM84 juta; kenderaan 622 kes dengan jumlah kenderaan yang dirampas 1,170 unit (RM45.2 juta nilai cukai terlibat).
  
"Sementara itu, bagi rokok (kretek dan putih) pula 2,312 kes dicatatkan tahun ini, dengan nilai cukai terlibat RM486 juta," katanya.
  
Katanya, dalam tempoh yang sama juga 756 kes melibatkan nilai barang berjumlah RM10 juta telah dikompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2.616 juta, manakala 4,229 kes dalam siasatan, 734 kes telah selesai dan 492 kes dibawa ke mahkamah. - BERNAMA

Tiada ulasan: