Jumaat, 19 Disember 2014

Hulu Terengganu paling banyak pusat pemindahan

SINAR HARIAN


Sebuah kenderaan kelihatan meredah banjir di Batu 28 Jalan Kuala Brang di Hulu Terennganu, semalam. Jalan yang menghubung Kuala Berang dan Ajil itu ditutup kepada kenderaan ringan. - Foto Bernama Sebuah kenderaan kelihatan meredah banjir di Batu 28 Jalan Kuala Brang di Hulu Terennganu, semalam. Jalan yang menghubung Kuala Berang dan Ajil itu ditutup kepada kenderaan ringan. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Daerah Hulu Terengganu membuka paling banyak pusat pemindahan mangsa banjir di Terengganu berikutan kawasan pedalaman daerah itu mengalami hujan lebat hampir 24 jam.
  
Menurut portal Majlis Keselamatan Negera (MKN) negeri Terengganu, setakat jam12 tengah hari ini, 37 pusat pemindahan di daerah Hulu Terengganu telah dibuka bagi menempatkan 3,066 mangsa daripada 949 keluarga ketika ini.
  
Dalam masa yang sama, 25 pusat pemindahan mangsa banjir dibuka di daerah Besut yang kini menempatkan 2,232 mangsa (582 keluarga).
  
Ini diikuti daerah Setiu, sebanyak 22 pusat penempatan mangsa banjir telah dibuka yang menempatkan 1,904 mangsa (500 mangsa).
  
Sementara itu di Kemaman pula sebanyak 21 pusat dibuka bagi menempatkan 946 mangsa (266 keluarga) manakala Dungun 20 pusat dengan jumlah mangsa 950 orang (266 keluarga).
  
Jumlah yang terlibat dalam bencana alam di Terengganu setakat ini sebanyak 9,098 manakala keseluruhan pusat pemindahan yang dibuka sebanyak 124 buah.

Di PAHANG,
jumlah mangsa banjir menunjukkan sedikit penurunan kepada 1,556 orang daripada 389 keluarga berbanding 1,586 orang daripada 395 keluarga pagi tadi.
  
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sebuah pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Kempadang yang menempatkan 35 mangsa banjir telah ditutup selepas keadaan banjir di kawasan kediaman mereka di PPRT Kempadang kembali pulih.
 
"Bagaimanapun sebuah pusat pemindahan baharu dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Semangat yang menempatkan lima orang daripada dua keluarga dari Kampung Semangat.
 
 "Lima lagi pusat pemindahan yang beroperasi ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan yang menempatkan 883 mangsa dari Kampung Pandan 2, Chendering dan Lubuk Puyu.
 
"Sekolah Kebangsaan (SK) Fakeh Samad (320 mangsa) dari Taman Tas Jaya, SMK Gudang Rasau (209 mangsa) dari Kampung Gudang Rasau, Dewan Orang Ramai Seri
Damai (91 mangsa) dari Kampung Seri Damai dan Pusat Bina Insan Jaya Gading (48 mangsa)," katanya kepada Bernama.   
  
Sehingga kini, katanya, semula laluan utama di daerah itu boleh dilalui oleh semua kenderaan.

DI KELANTAN
jumlah mangsa banjir berkurangan daripada 15,624 orang pagi tadi kepada 14,706 orang tengah hari ini.
  
Menurut portal banjir kerajaan negeri, mangsa banjir kini ditempatkan di 99 pusat pemindahan berbanding 108 pagi tadi, yang dibuka di lapan jajahan iaitu Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, Tumpat dan Bachok.
  
Pusat pemindahan di jajahan Jeli dan Gua Musang telah ditutup berikutan banjir sudah pulih.
  
Paras air di empat sungai menurun namun masih berada pada tahap bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang 10.47 meter (paras bahaya 9.00 meter).

Paras air di Sungai Kelantan iaitu di Tambatan Diraja, Kota Bharu dilaporkan berada pada paras 5.21 meter (paras bahaya 5.00  meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai merekodkan bacaan 25.41 meter (paras bahaya 25 meter) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah merekodkan bacaan 17.08 meter (paras bahaya 16.00 meter).
  
Keadaan cuaca mendung dan kadang kala hujan.- Bernama

Tiada ulasan: