Rafizi Ramli Rafizi Ramli
 
 
SHAH ALAM – PKR seolah-olah menyindir rakan pakatannya, Pas mengaitkan isu hudud dengan menyeru pimpinan dalam PR kembali menumpukan kepada perjuangan membela kebajikan rakyat yang mendesak terlebih dahulu.

Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli berkata meskipun perbezaan pendapat antara mereka telah wujud sejak 1999 lagi, namun beliau berpandangan keutamaan dan muafakat yang jelas perlu diberi kepada isu-isu kebajikan rakyat

“Saya sedia maklum perbezaan pendapat di dalam PR kebelakangan ini terutamanya yang melibatkan cadangan pembentangan rang undang-undang persendirian untuk membolehkan pelaksanaan hudud oleh Kerajaan Kelantan.

“Walaupun perbezaan pendapat sebegini telah wujud sejak penubuhan Barisan Alternatif dalam tahun 1999 lagi, saya berpandangan keutamaan dan muafakat yang jelas perlu diberikan kepada isu-isu kebajikan rakyat yang mendesak terlebih  dahulu,” dalam satu kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: [ Hudud: Sudah 20 tahun Pas tunggu ]

Mengulas lanjut, beliau memberitahu isu kebajikan rakyat yang mendesak termasuklah melibatkan ekonomi, rasuah dan penyalahgunaan undang-undang.

“Ini termasuklah kepayahan rakyat mengharungi beban sara hidup yang kian meningkat, skandal rasuah dan penyelewengan yang mengakibatkan peruntukan rakyat dipotong, kemelut ekonomi yang melanda rakyat menjelang 2015, manipulasi agama dan perkauman untuk mengekalkan Umno atau BN serta salah guna undang-undang untuk menyekat suara rakyat,” katanya.

Sementara itu, menyentuh soal cadangan Pas Kelantan untuk membentangkan rang undang-undang berhubung pindaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 Pindaan 2014 yang bakal diadakan 29 Disember ini, Rafizi berkata, beliau telah memohon untuk mendapatkan draf enakmen dengan segera bagi membuat penilaian.

“Saya telah memohon Sekretariat PR untuk mendapatkan draf enakmen yang bakal dibentangkan oleh Kelantan dengan segera.

“Ini bagi membolehkan PKR dan pimpinan PR yang lain menilai sendiri cadangan Kelantan itu sebelum sebarang komentar lanjut dibuat,” katanya.

Oleh itu, beliau menasihati pimpinan PKR supaya berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan mengenai perkara itu supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Katanya, sebarang keputusan dan pendapat mengenai perkara ini peru merujuk kepada keputusan Majlis Presiden PR.