Khamis, 25 Disember 2014

Gerakan Solidariti Bersama Al-Qaradhawi ditubuh

HARAKAHDAILY



Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan langkah dan pendirian kamu.” (Muhammad, 47: 7)

وَالَّذِينَ إِذَا أَصَابَهُمُ الْبَغْيُ هُمْ يَنتَصِرُونَ

“Orang-orang yang apabila berhadapan dengan penganiayaan dan kezaliman, mereka bertindak membela diri (secara setimpal dan tidak melampaui batas).” (al-Syura, 42: 39)

وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ الْمُؤْمِنِينَ
“Memang menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (al-Rum, 30: 47)

Sabda Rasulullah s.a.w.:

لَعَنَ اللَّهُ مَنْ رَأَى مَظْلُومًا, فَلَمْ يَنْصُرْهُ
“Allah melaknat orang yang melihat orang yang teraniaya (dizalimi) tetapi dia tidak bertindak membantunya.” (Riwayat al-Dailami)

إِنَّ النَّاسَ إِذَا رَأَوُا الظَّالِمَ فَلَمْ يَأْخُذُوا عَلَى يَدَيْهِ أَوْشَكَ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ بِعِقَابٍ
“Jika orang ramai melihat orang yang zalim melakukan penganiayaan dan mereka tidak bingkas menghalangnya, maka hampir-hampir Allah akan mengenakan azab kepada mereka semuanya.” (Riwayat Abu Daud)

قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: لأَنْتَقِمَنَّ مِنَ الظَّالِمِ فِي عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، وَلأَنْتَقِمَنَّ مِمَّنْ رَأَى مَظْلُومًا فَقَدرَ أَنْ يَنْصُرَهُ فَلَمْ يَفْعَلْ
“Allah ‘Azza wa jalla berfirman: “Aku pasti menuntutbela ( membalas) terhadap orang yang zalim; samaada dalam hidupnya masa kini atau di akhirat nanti. Aku juga akan menuntutbela terhadap orang yang melihat orang yang dizalimi tetapi ia tidak membantunya; pada hal dia mampu membantu.” (Riwayat Imam Ahmad)

Kami dengan ini mengumumkan Gerakan Solidariti Bersama Al-Qaradhawi telah ditubuhkan pada 23 Disember 2014 .Tujuan gerakan ini adalah untuk menyatakan sokongan dan menggerakkan usaha membela tokoh besar ini yang kini diancam ditahan oleh Interpol secara tidak benar dan sangat zalim.

Mengambil perhatian serius bahawa tindakan Interpol (atas permintaan rejim Mesir) yang mengeluarkan Notis Merah bertujuan menangkap Dr Yusuf Qaradhawi adalah perbuatan jahat yang harus ditentang oleh semua pihak yang cintakan keamanan, keadilan dan demokrasi.

Notis Merah oleh Interpol yang bermakna mencari dan menahan seseorang di mana-mana negara yang menganggotai Interpol adalah rancangan politik yang diputuskan oleh rejim Mesir untuk menghapuskan pengaruh Dr Yusuf Qaradhawi.

Tuduhan yang dilontar ke atas beliau sebagai penjenayah, tidak masuk akal, dan jelas merupakan tindakan terdesak rejim Mesir yang tidak dapat membendung kebangkitan rakyat yang menolak rampasan kuasa oleh tentera.

Rakyat Mesir sehingga kini terus melakukan bantahan, walaupun berhadapan dengan tindakan zalim pihak keselamatan Mesir di kalangan tentera dan polis yang telah menangkap, menculik, menyiksa serta membunuh ribuan rakyat awam. Dalam hanya tempuh setahun, rejim Mesir telah menahan lebih 28,000 rakyat termasuk wanita dan kanak-kanak, doktor dan jurnalis.

Interpol yang diperalat oleh rejim Mesir yang melabelkan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi sebagai penjenayah memperlihatkan agensi polis antarabangsa itu tidak lagi boleh dihormati sebagai badan yang berkecuali dari segi politik kerana apa yang dilakukan oleh pihak rejim jelas adalah tindakan politik untuk menghapuskan musuh politik Presiden Fatah Al Sisi.

Interpol nampaknya tidak mengambilkira laporan PBB dan pelbagai organisasi hak manusia yang jelas menunjukkan rejim Mesir telah melakukan pelanggaran hak manusia yang nyata dan sangat kejam.

Jika badan polis antarabangsa yang berpusat di negara Barat itu iaitu di Lyon, Perancis patuh kepada rejim Mesir, ia akan dilihat melanggar peraturannya sendiri jika dibaca pernyataan yang terdapat dalam penubuhannya iaitu melarang bertindak atas sifat politik iaitu "Tindakan diambil dalam batas undang-undang dalam negara masing-masing berasaskan ruh Deklarasi Hak Manusia Universal. Perlembagaan kami melarang sama sekali sebarang intervensi atau aktiviti politik, ketenteraan, keagamaan atau perkauman". (Action is taken within the limits of existing laws in different countries and in the spirit of the Universal Declaration of Human Rights. Our Constitution prohibits ‘any intervention or activities of a political, military, religious or racial character.)

Kami mengutuk tindakan regim Mesir dan pihak Interpol yang secara terang-terangan bersekongkol untuk menahan Syeikh Dr Yusuf Qaradhawi. Interpol jelas menjadi alat kepada regim Mesir yang juga direstui dan didokong oleh beberapa negara Arab yang lain.

Kami sangat kecewa dan melahirkan kemarahan kami apabila seorang tokoh sebesar Syeikh Qaradhawi yang disegani dan dihormati dunia kini dijadi mangsa kepada tuduhan sebagai penjenayah hanya kerana beliau tegas dengan prinsip menolak kudeta Mesir pada 3 Julai 2013.

Tindakan gila rejim Mesir ini sama sekali tidak boleh diterima malah mesti dikutuk. Rejim ini bukan kerajaan yang sah kerana ia merupakan kerajaan yang ditubuh atas kuasa tentera yang menafi kehendak rakyat yang telah memileh Dr Mohammad Morsi sebagai Presiden pada pilihanraya 2012.

Kami menggesa kerajaan Malaysia bertindak untuk menyelamatkan maruah beliau dan maruah negara ini sendiri yang telah mengiktiraf dan menganugerah Syeikh Dr Yusuf Qaradhawi sebagai tokoh Maal Hijrah yang membawa mesej kesederhanaan berasaskan kelimuan beliau yang diperakui.

Dengan tidak membela beliau bermakna penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa pada 2009 yang disampaikan sendiri oleh KDYM di-Pertuan Agong serta dihadiri oleh Perdana Menteri akan bermaksud anugerah itu tidak membawa erti apa-apa. Apatah lagi Perdana Menteri mewar-warkan Malaysia adalah penganut prinsip wasatiyyah yang dikempen sebagai bermakna sederhana. Apa erti wasatiyyah anutan kerajaan Malaysia jika ulama pelopor konsep wasatiyyah itu sendiri tidak dibela.

Syeikh Dr Yusuf Qaradhawi telah diperakui dunia sebagai ulama yang bersikap sederhana dalam pendekatannya tetapi tetap tegas bila kezaliman dilakukan oleh sesiapapun. Beliau juga jelas menolak gerakan ganas yang ditunjukkan oleh ISIS .

Walaupun ada perbedaan pendapat antara ulama mengenai Al Qaradhawi, namun pemikiran dan keilmuannya yang tinggi dihormati oleh dunia sebagai ulama muktabar sehingga beliau dipercayai untuk memimpin Persatuan Ulama Muslimin Antarabangsa.

Tidak ada yang menafikan keilmuannya dalam dunia Islam. Pendiriannya yang berhujah dengan ilmu yang kukuh mengenai risalah Islam dalam konteks kehidupan manusia masakini, di peringkat global, terutama mengenai keadilan, sangat dihormati.

Kami dengan ini menuntut supaya:

1. Interpol membatalkan Notis Merah untuk menahan Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi.

2. Kerajaan Malaysia hendaklah menggunakan kedudukannya sebagai anggota OIC dan Majlis Keselamatan PBB untuk menyuarakan bantahannya terhadap keputusan untuk menahan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi oleh Interpol.

3. Kerajaan Malaysia menyatakan sikap dan pendiriannya yang jelas menolak pengumuman Notis Merah Interpol ke atas Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi.

4. Umat Islam dalam kalangan ulama, ahli politik, ilmuan dan rakyat hendaklah bangkit membela Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi dan menolak rancangan jahat musuh Islam untuk menghapuskan pengaruh ulama muktabar yang berjuang untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.

5. Semua NGO Islam menggerakkan usaha untuk menyatakan sokongan dan pembelaan ke atas Syeikh Dr Yusuf Qaradhawi dengan menjelaskan kepada masyarakat kewajipan membela mereka yang dizalimi berdasarkan ayat-ayat Al-Quran yang tercatat di atas.

1. Mohd Azmi Abdul Hamid
Kordinator Gerakan Solidariti Bersama Dr. Syeikh Dr Yusuf Abdullah Al-Qaradhawi
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

2. Ustaz Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) Merangkap Pengerusi Persatuan Ulama Muslimin Antarabangsa cawangan Malaysia

3. Dr Roslan Mohd Nor
Setiausaha Agong Persatuan Ulama Malaysia

4. Dr. Muhammad Nur Manuty  
Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, PKR

5. Datuk Mohamad Nor Mansor Al Hafiz
Pengerusi Majlis Muafakat Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri Perak

6. Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman
Presiden Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)

10. Anwar Zainal Abidin
Pemangku YDP Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah

11. Nahar Mohd Nor
Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia

12. Dr Rahmah Hashim
Naib Presiden Wadah
Wadah Pencerdasan Ummat (WADAH)

13. Datin Aminah Zakaria
YDP Persatuan Persaudaraan  Muslimah Malaysia (SALIMAH)

Tiada ulasan: