MALAYSIAKINI
Ekoran ancaman kumpulan militan Negara Islam (IS) sehingga tercetusnya
Islamophobia, Exco Pemuda Umno Fathul Bari Mat Jahya berpandangan bahawa
sekarang masa yang sesuai untuk undang-undang hudud dibentangkan dan
dibahaskan di Parlimen.
Beliau berkata dengan pembentangan dan perbahasan undang-undang jenayah
syariah itu sekaligus menjadi platform bagi memberikan penjelasan
tentang Islam, laporan Berita Harian hari ini.
"Kita sebenarnya takut dengan agama kita sendiri, kenapa perlu lari daripada memberikan penjelasan mengenai Islam.
"Pada pandangan saya, situasi ketika ini adalah paling sesuai untuk
bentangkan undang-undang hudud sebagai penjelasan kepada orang bukan
Islam ketika dunia berdepan dengan ancaman kumpulan militan IS," katanya
seperti dipetik dalam laporan tersebut.
Dalam laporan itu juga menyebut, penasihat eksekutif Pertubuhan Ilmuan
Malaysia (ILMU) berkata, umat Islam bertanggungjawab memberikan
penjelasan mengenai hukum hudud termasuk dari segi konsep dan
pelaksanaannya.
Akhbar itu memetik Fathul sebagai berkata sama ada undang-undang itu
diluluskan atau tidak oleh Dewan Rakyat, ia menjadi soal kedua.
Ini kerana, katanya, apa yang menjadi keutamaan kini ialah untuk melihat
hukum hudud tidak sekadar menjadi polemik atau agenda politik pihak
berkepentingan.
Sementara itu, akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan Exco Hal
Ehwal Agama Islam Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menggesa supaya
DAP dan PKR memahami terlebih dahulu perundangan hudud sebelum membantah
pelaksanaannya.
Hudud: S'gor belum sedia
Dalam laporan akhbar itu, ADUN PAS Sijangkang itu berkata hudud
memerlukan pemahaman mendalam dan bukan sekadar berlandaskan persepsi
politik bahawa orang bukan Islam juga akan kena hukuman hudud.
"Sekarang ini mainan persepsi seolah-olah memecah belahkan rakyat dan kepimpinan.
"Bagaimanapun, akibat kurang kefahaman, ia menggambarkan hudud lebih
kepada bentuk hukuman. Sebaliknya, al-Quran menggariskan perundangan
Islam ini berbentuk pengajaran.
"Pendidikan dan kefahaman penting sebelum hudud dilaksanakan. Sebab itu
saya katakan Selangor belum bersedia laksanakan hudud seerti di
Kelantan," katanya seperti dilapor akhbar itu.
Dalam laporan yang lain, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Irmohizam
Ibrahim pula menyambut baik jika PAS duduk bersama untuk berbincang
tentang pelaksanaan hudud.
Ini
kerana, beliau yang juga MP Kuala Selangor berpendapat bahawa soal
hudud adalah milik semua oang Islam dan bukannya milik mana-mana parti.
"Saya menyambut baik sekiranya perbincangan untuk memperkukuhkan agama
Islam dan Institusi Melayu itu, dibuat oleh sama ada Umno atau PAS
kerana ia perlu dibuktikan bahawa persempadanan politik tidak boleh
membataskan isu agama kerana agama Islam adalah anutan kita.
"Paling penting PAS harus tunjukkan keikhlasan dalam apa jua yang ingin
dibincangkan. Mereka harus telus dan menunjukkan kepada Umno apa
topik-topik yang harus diberi penekanan bersama dalam soal agama Islam
ini," kata seperti dilapor Sinar Harian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan