Rabu, 17 Disember 2014

Cadangan lesen pemancing dibatal serta merta

SINAR HARIAN


Ismail Sabri Ismail Sabri
 
 
PUTRAJAYA - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini membatalkan serta merta cadangan Jabatan Perikanan untuk mengenakan lesen terhadap pemancing mulai tahun depan.

Beliau berkata walaupun peraturan itu adalah selaras dengan garis panduan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan diguna pakai di banyak negara, namun ia didapati belum masanya peraturan itu dikuatkuasakan di negara ini.

Katanya peraturan melesenkan pemancing telah diluluskan drafnya oleh Jabatan Peguam Negara pada 2012.

"Namun buat masa ini Jabatan Perikanan sedang mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan sebelum cadangan tersebut di bawa ke peringkat kementerian untuk tindakan  lanjut," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai terdapat laporan bahawa Jabatan Perikanan bercadang mengenakan peraturan itu untuk mengawal populasi ikan serta mengelak aktiviti mencari ikan dengan cara yang salah seperti aktiviti bot tunda di perairan cetek. 

Isu berkenaan menjadi viral di laman sosial terutama milik peminat dan kaki pancing yang merasakan langkah memperkenalkan lesen kepada pemancing adalah tidak wajar.

Ismail Sabri berpendapat jika tujuan pelesenan ialah untuk mengelak aktiviti perikanan yang menyalahi undang-undang termasuk pengeboman ikan, sudah terdapat undang-undang serta peraturan mengenainya yang perlu dilaksanakan.

Mengulas lanjut, beliau berkata beliau hanya mengetahui berhubung cadangan itu malam tadi menerusi posting yang dihantar ke laman Facebook beliau.

"Saya sendiri tidak tahu tentang cadangan itu dan saya sendiri terkejut selepas membaca posting di Facebook.

"Peraturan itu kurang wajar dan tidak sesuai dan saya telah mengarahkan supaya cadangan itu dibatalkan serta merta," katanya.

Aktiviti memancing jelas beliau turut merupakan aktiviti sukan dan hobi, malah ada juga nelayan miskin yang terlibat dengan aktiviti memancing di Zon A yang rata-ratanya terdiri daripada golongan miskin, sudah tentu pengambilan lesen akan menyulitkan mereka. - Bernama

Tiada ulasan: