Rabu, 24 Disember 2014

Banjir terburuk dalam sejarah di Kuala Krai

ASLANI M DAN M ZIN






KUALA KRAI: Jajahan Kuala Krai dan Gua Musang paling terjejas berikutan banjir pusingan kedua yang melanda Kelantan sejak Isnin lalu.

Malah pertama kali dalam sejarah Kampung Manek Urai Lama di Kuala Krai lumpuh sama sekali apabila air bah memenuhi segenap ruang kampung.

Limpahan air Sungai Lebir luar biasa dalam sejarah mungkin mengatasi bah merah sehingga menyebabkan pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Lama turut terjejas.

Mangsa banjir di situ terpaksa dipindah ke tingkat tiga selepas paras air meningkat dengan mendadak.

Suara wanita yang berada di pusat pemindahan banjir di Manek Urai Lama juga menjadi viral di media baru apabila meminta pertolongan menyelamatkan mereka ke tempat lebih selamat.

Markas PAS setinggi dua tingkat di Kampung Manek Urai Lama hanya kelihatan bumbung. Jelas kelihatan dari tempat tinggi, Manek Urai seolah-olah menjadi lautan.

Air banjir juga melimpah ke Kampung Manek Urai Baru, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah sejak penempatan pindahan banjir tersebut dibuka pada 1980-an.

Menurut penduduk mangsa banjir yang berpindah dari Kampung Manek Urai Lama terpaksa dipindahkan sekali lagi ke tempat lebih tinggi di Pusat Kesihatan Manek Urai dan Masjid Kampung Baru.

Rumah penduduk di Kampung Manek Urai Baru pertama kali dalam sejarah turut tenggelam.
Beberapa lagi kampung di Dun Manek Urai termasuk Pemberian, Karangan dan Lata Rek juga terjejas teruk.

Jalan perhubungan dari Kota Bharu ke Gua Musang terputus di banyak tempat ekoran ditenggelami air termasuk di Kampung Pahi, Sungai Durian dan Simpang Tiga Guchil. Banyak kenderaan terperangkap.

Keadaan itu menyebabkan bantuan makanan sukar untuk disampaikan ke lokasi banjir yang terjejas teruk di Dun Manek Urai.

Bandar Kuala Krai juga lumpuh setelah dinaiki air bah sejak semalam. Mangsa banjir di Sekolah Yuk Chai juga terpaksa dipindahkan ke Dewan Sri Guchil memadangkan paras air semakin meningkat.

Banyak kawasan perumahan di sekitar Bandar Kuala Krai termasuk Berkatjaya dinaiki air bah. Kampung-kampung lain yang terjejas Kampung Keroh, Kampung Tengah, Pondok Sungai Durian dan Sungai Nal.

Mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan Dewan Serbaguna di hadapan Masjid Besar Kuala Krai juga terpaksa dipindahkan ke tempat lebih selamat.

Rumah Adun Mengkebang, Abdul Latif Abdul Rahman di Pondok Sungai Durian dan rumah Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah di Batu Jong juga dinaiki air.

Di Gua Musang Bandar Lama yang terletak di tepi Sungai Galas juga lumpuh. Limpahan air ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu menenggelamkan banyak rumah termasuk di Kampung Lembaga dan Batu Papan.

Mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan di Maahad Muhammadi di Kampung Lembaga juga terpaksa dipindahkan ke tempat lebih selamat.

Di Tanah Merah, Unit Amal membantu Penyelia Dun Gual Ipoh, Mohd Razali Yusof mengagihkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat.

Sukarelawan Unit Amal Tanah Merah diketuai Mohd Azmi Mat Zin bersama 20 anggota
menyampaikan sebanyak 80 kampit beras kepada para penduduk dengan bantuan Penghulu Mukim Sokor, Mohd Zaid Mohd Noor.

Sementara itu di Kota Bharu air mulai melimpah masuk ke kawasan bandar di sekitar Hotel Ridel, Hotel Grand Riverview dan Taman Hijau yang terletak berhampiran Sungai Kelantan.

Malah rumah penduduk di Kampung Sireh juga ditenggelami air. Air bah mulai melimpah tebing di Tambatan Diraja sejak petang semalam.

Paras air Sungai Kelantan di Lembah Sireh berhampiran Tesco juga meningkat. Kira-kira enam kaki lagi air banjir akan mencecah bandar baru tersebut. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: