Oleh Syed Mu'az Syed Putra
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya membaca dan memahami
terlebih dahulu draf berkaitan undang-undang hudud dan qisas Kelantan
sebelum mengeluarkan apa-apa pandangan.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Mazian Nik Mohamad, komen
terbaru Anwar berhubung rancangan kerajaan negeri Kelantan untuk meminda
undang-undang sedia menunjukkan seolah-oleh beliau tidak mengetahui
apa-apa tentang undang-undang Islam itu.
"Ada bidang kuasa, kenapa pula kata tiada bidang kuasa? Jika PAS berjaya ke Parlimen kemudian tiada masalahlah.
"Sekarang ini ia bergantung pada Parlimen, kalau Parlimen beri kita
majoriti mudah untuk dilaksanakan maka Kelantan boleh laksanakanlah,"
katanya kepada Antarapos.
Beliau menafikan dakwaan Anwar bahawa rancangan itu akan menimbulkan
banyak masalah sebaliknya menegaskan bahawa pindaan tersebut akan
memperluas bidang kuasa mahkamah syariah Kelantan.
"Itu akan diputuskan dalam drafnya nanti seperti siapa dan sebagainya dengan terperinci...semuanya ada di dalamnya," katanya.
Selain itu, bekas ADUN Gaal berkata jawatankuasa ternikal yang
ditubuhkan telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk dari segi
penguatkuasaannya yang diperincikan dalam draf rang undang-undang
berkaitan pelaksanaan hudud yang akan dibawa ke Parlimen.
"Ya, jawatankuasa yang ada sekarang ini akan menilai semua itu. Jadi
prosedur macam mana nak laksana semua itu akan ada dalam semua itu.
"Boleh anda faham mengenai perkara ini?" katanya.
Beliau mengulas kenyataan Anwar bahawa rancangan kerajaan pimpinan PAS
di Kelantan mahu meminda enakmen berkaitan hudud di Dewan Undangan
Negeri (DUN) bermasalah kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk
menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam di negeri itu.
"Akan ada banyak masalah kerana anda perlu meminda undang-undang
persekutuan. Mereka tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakannya
(hudud).
"Katakan mereka buat juga. Siapa yang akan membuat tangkapan? Siapakah
yang akan membawa mereka (suspek) ke penjara? Ia bukan dalam kuasa
(kerajaan negeri) mereka. Oleh itu, terdapat banyak masalah," kata
Anwar.
Meskipun berdepan tentangan komponen Pakatan Rakyat, kerajaan Kelantan
tetap bertegas dan menetapkan 29 Disember untuk memanggil satu sidang
khas DUN bagi membentangkan pindaan terhadap Kanun Jenayah Syariah II
1993 atau dikenali sebagai Hukum Hudud.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata ia adalah sebahagian
daripada prosedur kerajaan negeri untuk membentangkan rang undang-undang
persendirian di Parlimen untuk membolehkan Kelantan menguatkuasakan
hudud.
Bagaimanapun, DAP telah berulang kali menuntut PAS menangguhkan
rancangannya di Kelantan dengan alasan undang-undang jenayah Islam
kontroversi itu bukan sebahagian daripada rangka kerja dasar bersama
Pakatan.
Anwar patut teliti draf hudud, jangan ulangi kesilapan
Ujar Nik Mazian lagi, Anwar serta pimpinan Pakatan perlu menghormati
hasrat PAS selain meneliti draf undang-undang itu sebelum mengeluarkan
kenyataan kepada umum.
"Adakah orang lain macam Datuk Seri Anwar Ibrahim? Beliau baca tak semua itu?
"Jadi beliau keluarkan kenyataan tapi tak tahu mengenai perkara ini,
lebih baik beliau baca dululah, kemudian barulah berikan komen,"
katanya.
Tambah Yang Dipertua PAS Pasir Puteh Ini, sebagai pemimpin
berpengalaman Anwar tidak sepatutnya melakukan kesilapan demikian sambil
menyifatkan diri sendiri tidak layak menegur tokoh veteran itu.
"Jadi kalau beliau belum membacanya bagaimana beliau boleh kata sebegitu?
"Saya ini orang kecil sahaja, saya tidak sepatutnya bergaduh menentang
Anwar tapi saya rasa beliau membuat kesilapan di situ, saya tidak
tahulah," katanya.
Untuk rekod, kerajaan Kelantan sudah menubuhkan satu jawatankuasa
teknikal mengenainya yang mengumpulkan semua kumpulan pakar mengenai
undang-undang syariah termasuk para peguam sivil.
Kerajaan pusat juga telah menubuhkan jawatankuasa yang sama di
peringkat pusat dengan diketuai oleh Ketua Bahagian Syariah Jabatan
Peguam Negara.
Sehingga kini, tujuh mesyuarat telah diadakan iaitu lima di peringkat negeri dan dua di peringkat pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan