Selasa, 16 Disember 2014

Ahli PAS Diberi Amaran Tidak Terlibat Dengan PasMa

RAKYATNEWS


alt


 
KUALA LUMPUR  - Mesyuarat PAS Pusat Ahad lepas membuat keputusan menasihatkan pimpinan PAS di semua peringkat tidak melibatkan diri dengan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang kini menjadi kumpulan pendesak dalam parti Islam itu.

Keputusan itu disampaikan kepada semua pemimpin PAS melalui satu pekeliling yang dikeluarkan Pejabat Agung PAS dan ditandatangani Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Bagaimanapun pekeliling bertarikh 15 Disember itu tidak menyatakan sebarang tindakan atau amaran yang akan diambil jika mana-mana pemimpinnya melanggar nasihat itu.

"Ia dibuat demi memelihara keutuhan dan perpaduan parti," kata pekeliling yang ditujukan kepada semua setiausaha perhubungan negeri dan Wilayah Persekutuan itu.

Dalam pekeliling yang sama dimaklumkan Jawatankuasa PAS Pusat akan terus memantau kegiatan PasMa dari masa ke semasa.

Selain PasMa, PAS juga memerhatikan satu lagi badan bukan kerajaan (NGO) dalam PAS iaitu Geng Ustaz (GU) yang dianggap bertentangan dengan PasMa.

"Jawatankuasa khas yang dipengerusikan Naib Presiden PAS Salahudin Ayub akan mengadakan pertemuan dengan sebuah NGO iaitu Geng Ustaz bagi tujuan dan maksud yang sama," kata pekeliling itu.

Pada 24 November lalu, Salahudin dan Ahli Majlis Syura Ulama Idris Ahmad mengadakan pertemuan dengan pemimpin PasMa.

Dalam pertemuan itu, mereka bertukar-tukar fikiran dan laporan dibuat oleh Salahudin kepada mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 14 Disember lepas.

PasMa yang dipengerusikan Adun PAS Pengkalan Kundor Datuk Phahrolrazi Zawawi ditubuhkan untuk menjadi pelobi agar PAS terus kekal dengan Pakatan Rakyat ekoran hubungan kurang baik antara sesetengah pimpinan PAS dengan PR khasnya selepas krisis pertukaran menteri besar Selangor.

Untuk tujuan itu, mereka mengadakan program ke seluruh negara yang turut melibatkan pimpinan PAS.

Program terakhir di Kulim 12 Disember lalu yang turut melibatkan Adun PAS Selangor yang digantung Saari Sungib. Turut serta dalam majlis dialog itu adalah Phahrolrazi dan Setiausaha Agung PasMa Mohd Taib Ahmad.

"Inilah antara dialog Pasma paling 'panas' yang pernah saya sertai," tulis seorang pemimpin PasMa Zokarnain Abidin melalui Facebooknya.

Tiada ulasan: