Kereta Perodua Alza dipandu Mohd Kosim bertembung dengan Nisan Grand Livina. Kereta Perodua Alza dipandu Mohd Kosim bertembung dengan Nisan Grand Livina.


GUA MUSANG - Dua jalan menjadi lokasi berdarah apabila lima maut dan empat parah dalam dua kemalangan berasingan iaitu di Aring 8 Jalan Chiku - Aring dan Kilometer 17 Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Rantau Manis, dekat sini, pagi dan petang semalam.

Antara yang maut itu kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertugas di Kuala Terengganu, Mohd Kosim Rashid, 39, yang dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke Kampung Bertam bersama keluarga untuk menyambut Aidilfitri.

Mangsa yang maut bersamanya dalam kejadian pertama di Aring 8 kira-kira jam 10.30 pagi itu ialah adik ipar Mohd Kosim, Azliana Ab Kadir, 30, seorang guru yang mengajar di Sarawak.

Empat yang cedera dalam kemalangan itu, isteri Mohd Kosim yang sarat mengandung tujuh bulan, Arini Ab Kadir, 37, bersama anak mereka Mohd Aniq Izat Mohd Kosim, 10, Umairi, 9, dan Alisha Balkiq, 6, kini menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

Keluarga terbabit menaiki kereta Perodua Alza dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Bertam, Gua Musang dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Nissan Grand Livina yang datang dari arah Chiku ke Terengganu.

Dalam kejadian kedua di Kilometer 17 Jalan Gua Musang- Kuala Krai kira-kira jam 1.30 petang membabitkan sebuah kereta dengan bas persiaran menyebabkan tiga sahabat dalam sebuah kereta Proton Wira maut di tempat kejadian.

Tiga mangsa yang maut itu dikenali, Suhariza Hassan, 35,  berasal dari Kampung Tawang Bachok, Zulkifli Talib, 46, berasal dari Kampung Temila Pasir Puteh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah bank di Kuala Lumpur dan Mohd Zuki Ariffin, 41.

Kejadian itu dipercayai kereta dinaiki mangsa cuba memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan sebuah bas persiaran dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, tetapi pemandu dan penumpang bas terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.

Sementara itu adik Zulkifli, Mohd Salmizi Talib, 28, berkata, dia tidak sempat bertemu dengan arwah walaupun  abangnya itu singgah di rumahnya di Kampung Merapoh, Kuala Lipis, untuk mandi bersama dua rakan yang lain.

“Ketika itu saya sedang bekerja di Taman Negara Merapoh, tidak dapat pulang ke rumah. Kunci ditinggalkan kepada jiran bagi memudahkan arwah abang masuk dan berehat kira-kira jam 12 tengah hari.

“Saya sempat berpesan supaya pulanglah dahulu kerana saya juga akan pulang ke kampung menyambut Aidilfitri bersama esok kerana masih banyak kerja yang perlu diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, cukup pilu apabila menerima panggilan telefon daripada rakan menyatakan abangnya maut dalam kemalangan menyebabkan dia bergegas ke HGM.

“Sungguh sayu apabila mendapat tahu abang meninggal dunia dalam kemalangan itu dan sedih kerana tidak sempat berjumpa dengannya sebelum bertolak pulang ke kampung petang tadi (semalam),” katanya.