Isnin, 21 Julai 2014

Pengarah ICAO dan IATA perlu bertanggungjawab ke atas MH17 dan letak jawatan!



Oleh Ng Kee Seng


Menteri Pengangkutan yang baru dilantik, Datuk Seri Liow Tiong Lai perlu bangun dan menghadapi realiti berkenaan MAS, MH370 dan MH17.

Apabila persoalan sah mengenai keselamatan udara dibangkitkan dan MAS dipersoal, ia tidak bermakna pengkritik mempunyai agenda terselindung selain daripada kebimbangan yang nyata.

Kepada mereka yang cepat untuk menuduh pengkritik tidak sensitif kepada mangsa-mangsa dan keluarga mereka, mereka tidak sepatutnya beranggapan sedemikian.

Jadi bilakah masa yang terbaik untuk mengajukan persoalan? Tidak perlukah soalan ditimbulkan? 
Hanya perlu percayakan pihak berkuasa secara membuta tuli?

Jadi, adakah pengkritik ini berfikir MAS bebas daripada apa-apa kesalahan atau tanggungjawab hanya kerana pesawatnya telah ditembak jatuh?

Hanya menyalahkan penembaknya? Ya, penembaknya berhak untuk masuk neraka kerana membunuh 298 orang yang tidak bersalah di atas pesawat MH17, tetapi adakah semua pihak berkuasa penerbangan antarabangsa dan MAS bak malaikat? Mereka tidak bersalah dalam tragedi ini?

Liow berkata pada taklimat media: "Laluan yang diambil oleh penerbangan MH17 telah diluluskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), dan negara-negara yang ruang udara mereka digunakan.

"Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) juga telah menyatakan bahawa ruang udara yang diseberangi pesawat itu tidak mengalami sekatan."

Liow juga berulang kali berkata yang laluan MH17 telah diluluskan dan dianggap sebagai selamat.
Jika ia selamat, 298 penumpang di atas pesawat MH17 pasti masih hidup hari ini.

Jika ianya selamat, ICAO dan IATA tidak akan menutup laluan itu serta-merta selepas nyawa mereka terkorban.

Sudah tentu ICAO, IATA dan MAS akan terus mendakwa bahawa laluan penerbangan itu selamat, dan semata-mata menyalahkan penembaknya. Jika tidak, mereka akan meletakkan kesalahan di bahu mereka sendiri.

Ini jadinya bila kita mempercayai ketelusan dan kejujuran pihak berkuasa.

Laluan penerbangan itu adalah terlalu dekat dengan zon perang di mana awal minggu ini, dua buah jet tentera Ukranian telah ditembak jatuh oleh pemberontak pemisah pro-Rusia.

Anda menggelar ruang udara ini selamat?

Ya, banyak syarikat penerbangan lain juga terus menggunakan laluan MH17 setiap hari. Adakah ini bermakna bahawa mereka betul? Jika ya, ia seperti mengatakan bahawa mentaliti gerombolan adalah sentiasa betul.

Walau bagaimanapun, apakah penjelasan yang boleh diberikan ICAO, IATA dan MAS mengenai sebilangan kecil syarikat penerbangan yang telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan laluan ini, kerana mereka memilih untuk mengutamakan keselamatan penumpang mereka?

Mereka bersedia untuk menanggung kos tinggi dan masa penerbangan yang lebih panjang demi keselamatan penumpang! Pendek kata, mereka berpandangan jauh untuk menjangka bahaya dan mengurangkan risiko kepada keselamatan penumpang.

Adakah ICAO, IATA dan MAS telah mempertimbangkannya seperti yang dilakukan pengurusan bijaksana syarikat-syarikat penerbangan yang telah mengelakkan laluan penerbangan ini?

Malah, pihak pengurusan bijak syarikat penerbangan ini perlu mengambil alih kepimpinan ICAO dan IATA! Tiada rasa malu dan ketelusan di kalangan pemimpin penerbangan antarabangsa!

Para pemimpin ICAO dan IATA perlu bertanggungjawab dan meletakkan jawatan mereka serta-merta!

Jadi Liow, dalam hal MAS, pihak pengurusan jelas perlu berubah.

Kerajaan Malaysia dan MAS perlu bertanggungjawab dan melakukan perubahan.

Mereka perlu melantik pengurusan yang cekap dan telus bagi MAS, yang tahu masa untuk mengambil tindakan berjaga-jaga berkenaan keselamatan penumpang. Bukan hanya mengikut membabi buta dan mengabaikan pertimbangan yang lebih baik.

Sesuatu laluan penerbangan atau ruang udara mungkin telah diluluskan, tetapi ia tidak semestinya bermakna yang ianya selamat untuk dilalui. 298 nyawa terpaksa membayar harga yang mahal bagi menyedarkan ICAO, IATA dan MAS mengenai kebodohan mereka.

Mereka semua terlupa atau mengabaikan realiti dengan mengambil risiko terbang terlalu dekat dengan sebuah zon perang. Itulah realiti tragedi ini.

Cukuplah adanya pemimpin yang hanya pandai berkata-kata mengenai keselamatan dan perlindungan penumpang udara.

Jadi, adakah anda masih berfikir ICAO, IATA dan MAS bebas daripada apa-apa kesalahan atau tanggungjawab ke atas tragedi ini?

Tiada ulasan: