Sejak beberapa hari lepas, saya - dan saya percaya ramai orang lain juga - terima mesej berantai yang dihantar melalui Facebook apa yang didakwa sebagai kisah sebenar di sebalik insiden 'steering lock' membabitkan Kiki dan Uncle Sim di Kuantan tempoh hari.

Yang tidak sedapnya, mesej ini berbaur perkauman yang sangat kelat. Kononnya apa yang membuatkan Kiki marah hingga jadi begitu emosi, bukan sebab kereta Peugeot 208 CDM25 kesayangannya itu dilanggar tetapi kononnya kerana ada provokasi perkauman oleh Uncle Sim.

Gambaran diberi seolah-olah ada halimunan yang duduk bertenggek di tepi kereta itu pada masa kejadian. Dia dengar dan rakam. Apa yang didengar dan dirakam itulah kemudiannya disebarkan. Sebabnya, cerita itu detail dengan skrip yang teratur.

Bagi yang menerima, itulah cerita yang sebenar, lalu disebarkan pula tanpa ragu-ragu.

Kita mudah percaya kerana cerita itu ada provokasi perkauman, dan kita pun jadi emosi kerana percaya Uncle Sim telah menghina bangsa kita. Kita percaya kerana perkauman, bukan atas dasar kita pasti bahawa itu memang sesuatu yang benar!

Secara logik, saya tidak yakin Kiki akan minta maaf secara terbuka kalau apa yang didakwa dalam cerita yang disebar itu benar. Sebagai insan yang waras lagi berakal sudah tentu dia akan mempertahankan tindakannya, bercerita apa yang sebenarnya jika ada perkara hak yang dia nak pertahankan.

Ini persoalan maruah. Mengapa Kiki nak jatuhkan maruah sendiri dengan mengaku bersalah, mengamuk hanya kerana kereta dilanggar oleh seorang warga emas kalaulah dia tidak bersalah?

Orang bukan sahaja tidak akan mencemuh, malah dia mungkin akan dipuji jika benar mempertahankan diri daripada provokasi perkauman sebagaimana dakwaan yang disebarkan.

Tidakkah kita sedar, dengan menyebarkan mesej seumpama itu, kita hanya merendahkan lagi martabat dan pandangan orang terhadap Kiki sendiri?

Setelah dia meminta maaf secara terbuka, kita sebarkan pula satu cerita lain, lalu tindakan kita itu seolah-olah menidakkan kemampuan Kiki untuk berfikir dan menimbang apa yang betul. Kalau dia tidak bersalah ataupun bersalah atas sebab telah diprovokasi secara melampau, mengapa perlu dia minta maaf?

Satu perkara yang lebih besar, kenyataan warga emas itu, “saya orang Kristian, saya maafkan dia dan minta polis jangan hukum dia” secara tidak langsung sudah jadi tamparan bagi kita orang Islam.

Bulan yang mulia ini harus mempengaruhi kita untuk bersikap lebih baik. Malangnya, akhlak kita tidak seperti yang diajar oleh agama, dan sekarang kita tambah pula dengan menyebarkan fitnah atas perkara yang kita sendiri tidak pasti.

Tidak. Saya bukanlah mahu membela lelaki warga emas itu begitu sahaja tetapi oleh sebab mereka sesama mereka sudah saling memaafkan, mengapa kita pula yang mahu humban diri ke dalam neraka?

Saya percaya, dalam kalangan mereka yang menyebarkan mesej ini, sebilangannya adalah mereka yang dahulu membelasah Kiki di media sosial tanpa segan silu. Hari ini, orang yang sama juga tiba-tiba mahu jadi pembela dia No. 1.

Ya, hakikatnya ramai daripada kita yang jenis tidak berfikir panjang, tidak ambil kisah pasal undang-undang, apa lagi hukum-hakam.

Yang kita tahu, mahu berseronok jadi tukang karut tanpa memikirkan kesan daripada tindakan yang kita lakukan bukan sahaja boleh mendatangkan dosa, malah juga mungkin bawa masyarakat jadi huru-hara.     

Masakan tidak jika hal-hal sensitif yang berkait dengan perkauman disebarkan dan kita pun tahu, apa yang disebar melalui internet tidak akan mampu dikawal jika ia telah merebak, sama macam api. Kecil jadi kawan, apabila besar kita sendiri pun boleh terbakar!

Kita tidak akan dapat menjangka bahawa mesej seperti itu mungkin boleh membakar perasaan orang lain hingga terjadi pergaduhan.

Kerana itu, jangan main-main dengan hal yang seperti ini. Adat resam dan budi bahasa Melayu tidak mengajar kita untuk jadi serendah itu. Apa lagi ajaran Islam yang sentiasa mendidik kita untuk tetap menghormati sesama manusia, tidak kira yang Islam ataupun bukan.

Apakah kita anggap dengan memfitnah orang bukan Islam itu tidak berdosa?

Bagaimana jika ada yang percaya daripada sebaran tidak bertanggungjawab kita, sampai berdendam dan melakukan sesuatu yang tidak baik kepada Uncle Sim?

Bukankah ini perbuatan yang jelas menganiaya?

Jangan rendahkan martabat ajaran agama kita. Jangan berdosa sesama manusia, jangan juga berdosa kepada ALLAH. Islam agama kita terlalu tinggi darjatnya sebagai agama yang hak di sisi ALLAH dan yang paling adil hukum hakamnya.

Berfikirlah saudaraku sekalian. Berdakwah melalui akhlak, jangan jadi assobiyah secara membabi-buta hingga orang bukan sahaja tidak hormati kita malah memandang rendah agama kita.