Selasa, 8 Julai 2014

Hina Nabi: PAS Sabah desak tindakan segera

SALMIYAH HARUN


KUALA LUMPUR: PAS Sabah menggesa pihak berkuasa bertindak terhadap mana-mana pihak atau individu yang mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam termasuklah menghina Nabi Muhammad SAW.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling berkata, perbuatan menghina dan menjatuhkan maruah agama lain hanya memusnahkan perpaduan dan keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada seorang anggota Parti Reformasi Negeri (Star) David Orok yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW serta agama Islam di laman facebooknya.

Bagaimanapun katanya, PAS, Umno dan NGO telah membuat laporan polis terhadap David Orok dan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan selanjutnya mengenai perkara ini. PAS Sabah telah membuat laporan polis berhubung perkara ini di Sandakan dan Tawau.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS III Hamid Ismail berkata Orok telah memuat naik statusnya pada 5 Julai lalu, menyatakan tidak ada pihak yang membuat laporan polis apabila orang bukan Islam pula yang dihina.

"Dalam perkara ini, Orok mungkin tidak tahu PAS Sabah pernah membuat laporan polis pada Disember 2013 lalu kerana ada laman Facebook didapati menghina orang Kristian di Sabah. Dan kes ini masih disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia," katanya.

Tambahnya, semua pihak atau individu wajar mempertimbangkan terlebih dahulu untuk mengulas atau membincangkan perkara yang membabitkan agama khsusnya agama Islam.

"Mungkin anda mengeluarkan pendapat sendiri mengenai perkara tertentu yang benar melalui pembacaan daripada beberapa ayat Al-Quran dan hadis, tetapi pendapat anda adalah salah kerana anda tidak membawa ayat-ayat yang lain dan hadis mengenai perkara itu.

Justeru, beliau menegaskan PAS Sabah dan Islam tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan atau komen menghina agama Islam atau Nabi Muhammad SAW.

Hari ini, beberapa NGO Sabah turut membuat laporan polis terhadap Orok antaranya, Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan Islam Sabah (Concerns), Persatuan Bela Belia Tawau (Pembela) dan Pergerakan Pemuda Umno Putatan.

Mereka meminta agar polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan segera serta tegas ke atas David.

David Orok juga merupakan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Sulaman pada pilihan raya umum lalu. -

Tiada ulasan: