Rabu, 2 Julai 2014

Adakah Herald diberikan keadilan?

MOHAMED HANIPA MAIDIN


SECARA peribadi saya amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes rayuan Herald berkenaan isu nama Allah. Sebagai peguam, saya merasa pelik dengan keputusan tersebut. Sebagai Muslim, saya pula yakin akhbar Herald telah dinafikan keadilan dalam kes tersebut.

Sebelum saya ulas lanjut elok kita lihat kronologi kes tersebut. Menteri Dalam Negeri telah disaman oleh akhbar Herald kerana meletakkan syarat kelulusan permit akhbar Herald hanya jika nama Allah tidak digunakan oleh akhbar tersebut di dalam penerbitannya. Pihak Herald yang tidak puas hati dengan keputusan tersebut telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan tersebut. Hakim Lau Bee Lan telah membenarkan permohonan semakan kehakiman Herald atas alasan keputusan Menteri tersebut bercanggah dengan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Pihak Menteri tidak berpuashati dengan keputusan itu dan merayu ke Mahkamah Rayuan. Di Mahkamah Rayuan tiga orang hakim sebulat suara membenarkan rayuan tersebut sekaligus keputusan Hakim Mahkamah Tinggi tersebut dibatalkan. Antara alasan Mahkamah Rayuan ialah Allah adalah khusus untuk orang Islam maka keputusan Herald, akhbar Kristian, menggunakan nama Allah adalah tidak betul. Maka Menteri mempunyai kuasa untuk mengenakan syarat supaya Herald tidak menggunakan nama Allah di dalam penerbitannya.

Pihak Herald telah membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan selaku Mahkamah yang paling tinggi dalam piramid Mahkamah di Malaysia. Dari segi prosedur dan undang undang rayuan dari Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan bukan suatu yang automatik. Maksudnya jika mana-mana pihak yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan, pihak tersebut perlu mendapatkan kebenaran untuk merayu (leave to appeal) daripada Mahkamah Persekutuan. Pada kebiasaannya, kebenaran untuk merayu akan diberikan jika sesuatu kes itu melibatkan kes kepentingan awam dan juga isu undang-undang atau perlembagaan yang penting untuk diputuskan.

Semasa saya mengendalikan kes pelajar sekolah yang dibuang sekolah kerana memakai serban, kami menang di Mahkamah Tinggi kemudian kalah di Mahkamah Rayuan dan mendapat kebenaran rayuan untuk merayu di Mahkamah Persekutuan kerana isu tersebut melibatkan isu perlembagaan iaitu tentang isu makna kebebasan beragama di dalam Artikel 11 Perlembagaan.

Isu Herald bagi saya, isu yang mewajarkan Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran untuk merayu kerana rakyat dan dunia undang-undang di Malaysia memerlukan satu petunjuk yang jelas daripada Mahkamah Persekutuan berkenaan erti kebebasan beragama di bawah Artikel 11 khususnya Artikel 11 (4) Perlembagan Persekutuan.

Fakta bahawa tujuh orang hakim Mahkamah Persekutuan ditugaskan mendengar permohonan Herald bagi mendapatkan kebenaran rayuan menunjukkan bahawa ia suatu kes yang amat penting kerana setakat pengetahuan dan pengalaman saya, mungkin ini kali pertama tujuh orang hakim diarah mendengar permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu dan berakhir dengan kebenaran tidak diberikan. Amat-amat pelik.

Memandangkan Mahkamah Persekutuan enggan mendengar rayuan Herald maka rakyat di negara ini, setakat ini, dipaksa menerima satu keputusan yang pelik yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan. Bagaimana tidak pelik jika diputuskan Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja di negara ini. Jika di negara Arab, orang Kristian boleh guna nama Allah. Bagaimanakah kita boleh pertahankan keputusan pelik Mahkamah Rayuan dan bagaimanakah Mahkamah Persekutuan enggan menjalankan peranannya sebagai penafsir muktamad Perlembagaan Persekutuan meneliti semula keputusan pelik tersebut.

Kalimah Allah dilarang untuk digunakan oleh Herald atas alasan orang Kristian mempunyai pemahaman yang lain dari orang Islam tentang kalimah tersebut. Hujah ini amat lucu kerana jika orang Kristian mempunyai pemahaman yang sama dengan orang Islam tentang kalimah Allah, ada bezakah kita orang Islam dengan Kristian?

Kedua, adakah kalimah Allah sahaja yang kita orang Islam berbeza dengan orang Kristian? Bagaimana pula dengan kalimah Isa dan Maryam? Bukankah pemahaman kita berbeza dengan mereka berkenaan kalimah Isa. Jika Kristian anggap Isa sebagai anak Allah bagaimanakah kita boleh benarkan Herald atau mana-mana Bible menggunakan kalimah Isa tanpa sebarang sekatan?

Di sinilah letaknya kebebasan agama yang Islam ajar kepada kita semua iaitu selagi mana seseorang di luar lingkungan atau orbit Islam maka mereka berhak berpegang kepada mana mana fahaman sesesat mana pun fahaman tersebut. Selagi mana kristian atau mana-mana agama atau fahaman mengguna apa-apa kalimah termasuk kalimah Allah dalam kalangan mereka sahaja, Islam menghormati hak tersebut kerana ia termasuk dalam hak kebebasan mengamalkan agama mereka. Islam bukan deen ijbari (agama berdasarkan paksaan) kerana ia adalah agama yang mempunyai keterangan yang jelas antara kebenaran dan kesesatan.

Ruh kebebasan yang Islam anjur itu juga ditiup masuk dalam Perlembagaan Persekutuan dengan wujudnya Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan. Artikel 11 adalah menepati semangat kebebasan agama yang Islam anjur. Bagi memastikan hak itu tidak disalah guna oleh mana-mana orang, maka Perlembagaan Persekutuan juga mewujudkan Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 11 (4) ini melarang orang bukan Islam seperti orang Kristian untuk mengedar Herald kepada orang Islam sama ada, kalimah Allah ada di dalam Herald atau tidak ada. Apa lagi yang orang Islam hendak setelah adanya Artikel 11 (4) yang sengaja diwujudkan bagi menjaga kepentingan Islam dan pengikutnya.

Apabila Herald yang diedarkan hanya kepada orang Kristian sahaja yang sepatutnya tidak menjadi masalah dengan Perlembagaan, tiba-tiba diganggu gugat oleh Mahkamah Rayuan yang menyempitkan hak orang bukan Islam, maka di manakah keadilan yang kita berbangga Islam dan Perlembagaan Persekutuan dikatakan menjaganya. Di mana pula Mahkamah Persekutuan sebagai benteng terakhir penjaga dan pengawal Perlembagaan.'

'Allamah Ibnu Al Qayyim telah sekian lama memberikan satu taujihat atau panduan yang amat berguna kepada kita apabila beliau menyatakan antara lain "Islam itu semuanya adil, semunya rahmat dan kasih sayang dan semunya hikmah maka apa sahaja yang keluar dari keadilan, keluar dari rahmat dan kasih sayang dan keluar dari hikmah ia bukan Islam..."

Adakah Herald telah diberikan keadilan di dalam kes kalimah Allah ini? Maaf saya ragu keadilan telah ditegakkan di dalam kes ini. -

Tiada ulasan: