Jumaat, 14 Februari 2014

Tiada bukti penghinaan, segera tamatkan krisis palsu ‘Onederful Malaysia’


lks (13)



KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua minggu isu video ‘Onederful Malaysia’ dipenuhi dengan reaksi ekstrem dan tidak rasional seperti demonstrasi sembelih ayam dan ancaman kecederaan, sudah tiba masanya untuk menamatkan krisis yang sebenarnya dibuat-buat itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pimpinan BN yang menghentam Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok gagal menyahut cabarannya membuktikan kandungan anti-Melayu dan anti-Islam dalam video itu.

“Sepanjang dua minggu, saya cabar penghentam Teresa untuk kemukakan bukti serta berjanji meminta Teresa memohon maaf, namun tiada siapa yang dapat (buktikannya), sama ada daripada UMNO, MCA atau Gerakan.

“Ini adalah pengajaran yang ‘mahal’ untuk menteri dan pemimpin Umno agar tidak terlalu mudah percaya kepada apa yang diberitahu MCA dan Gerakan tentang DAP, atau kredibiliti mereka akan menjadi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sehubungan itu, beliau juga meminta pemimpin MCA, khususnya Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalannya, Datuk Wee Ka Siong agar berkata benar dengan mengisytiharkan bahawa tiada kandungan bersifat anti-Melayu dan anti-Islam, kecuali jika mereka benar-benar dapat membuktikannya.

Sebelum ini, Wee meminta Teresa memohon maaf berhubung video itu, dengan alasan tidak mahu masyarakat ‘menganggap budaya Cina adalah memaki hamun dan mempersenda orang lain ketika sambutan Tahun Baru Cina’.

Antara pemimpin MCA lain yang turut menghentam Teresa adalah Ketua Wanita, Heng Seai Kie yang mendakwa ia telah mencemarkan imej pemimpin negara.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan peguam Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mengatakan tawaran wang untuk menampar Teresa yang dibuat gabungan NGO itu bukan satu kesalahan.

“Ini adalah satu lagi contoh kejatuhan tahap intelek di Malaysia, apabila seorang peguam dengan umum bercakap secara mengarut tanpa rasa malu. Malah, ada di antara mereka (ahli gabungan NGO) berani mengatakan tawaran itu bukan untuk mencederakan, tapi ‘tampar-tampar sayang’.

Semalam, Mohd Khairul dalam satu sidang media berkata, tawaran itu bukan satu tindakan jenayah selagi ia tidak berlaku dan pada sidang media sama, jurucakap gabungan NGO itu, Zulkifli Shariff mengatakan tawaran itu adalah untuk ‘tampar sayang’ dan ‘tampar amaran’.

Katanya lagi, beliau juga masih menunggu jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sama ada tawaran untuk menampar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Zahid sendiri, juga tidak salah di sisi undang-undang.

“Amat dikesali apabila hal-hal sebegini tampil untuk menetapkan agenda negara, dengan penyebaran fitnah yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan kebencian kaum dan agama. Adakah orang gila telah ambi alih negara ini?.

“Sudah tiba masanya Malaysia kembali kepada kewarasan. Adakah Perdana Menteri mampu untuk mengembalikannya?” katanya lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: